|
Maqis merampas lotus roots yang dicemari tanah semasa menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah lori di KSAB, Johor Bahru, semalam.
GELANG PATAH – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) telah menahan 82 kotak sayur jenis ‘lotus root’ (akar teratai) seberat 820 kilogram (kg) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, di sini semalam.
Menurut Pengarah Maqis Negeri Johor, Edie Putra Md. Yusof, sayur tersebut yang dianggarkan berjumlah RM7,000 ditemui dicemari dengan tanah yang disorokkan di bawah timbunan kotak sayur bersih.
Beliau berkata, perkara itu dikesan hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai penguasa Maqis terhadap sebuah lori yang membawa pelbagai jenis sayur-sayuran pada pukul 2.50 petang.
“Sebanyak 82 kotak sayur bertanah tersebut yang disorokkan di bahagian bawah dan ditindih menggunakan kotak sayuran yang bersih bagi mengaburi mata pegawai pemeriksa dan telah ditahan untuk tindakan lanjut.
“Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian dengan perosak, penyakit atau bahan cemar adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak terbabit boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
“Pihak Maqis sentiasa memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih, dan mikroorganisma yang diimport ke negara bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2023/05 ... bunan-sayur-bersih/ |
|