View: 163|Reply: 0
|
[Selangor]
'Saya sudah kisah lagi dengan kecaman'
[Copy link]
|
|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/rabiatulrusli23_1683447904.jpg)
Nur Rabiatul ketika ditemui pada majlis rumah terbuka aidilfitri Muslim Care Malaysia di Pejabat utama Muslim Care Malaysia, Sungai Tua. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Selayang: "Sehingga sekarang masih ada panggil saya 'budak kepala besar' tetapi saya sudah tidak kisah, biarlah apa orang nak cakap atau hina sekali pun kerana ini ujian Allah SWT."
Begitu luahan Nur Rabiatul Rosli, 14, remaja yang juga pesakit hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala hingga membesar melebihi ukur lilit normal.
Nur Rabiatul berkata, dia pernah melalui kesedihan dan rasa rendah diri kerana fizikalnya yang berbeza dengan rakan seusia ketika masih kanak-kanak.
Bagaimanapun katanya, sejak usianya bertambah dan meniti usia remaja perasaan rendah diri itu menghilang dan mengakui tidak mengambil kisah dengan perbezaan fizikal terbabit.
"Saya masih ingat ketika sekolah rendah berusia antara tujuh hingga lapan tahun, saya selalu diejek kerana keadaan kepala hingga pernah berkurung dalam bilik kerana sedih.
"Bila lama-lama saya sudah biasa, tidak kisah lagi walaupun sekarang pun masih ada segelintir yang mengejek dan selalu mendapat perhatian apabila keluar tetapi biarlah... kalau ada yang menghina biar Allah saja yang balas," katanya ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Muslim Care Malaysia (MCM) di Kampung Sungai Tua, di sini, hari ini.
Sementara itu, ibunya, Norliza Mahad Amzah, 50, berkata sebagai ibu dia lega apabila Nur Rabiatul yang juga anak bongsu daripada empat beradik itu dapat menguruskan diri seperti remaja lain biarpun pembesaran agak lambat ketika kecil dahulu.
Menurutnya, doktor mula mengesan kelainan pada kepala Nur Rabiatul ketika usia kandungannya mencecah lima bulan dan anaknya sudah menjalani pembedahan ketika berusia lima tahun untuk memasang 'shunt' iaitu tiub khas bagi membolehkan pengaliran cecair.
"Anak (Nur Rabiatul) lambat merangkak dan dia juga berjalan ketika berusia dua tahun tetapi kini membesar seperti remaja lain dan bersekolah di aliran pendidikan khas di sekolah menengah di Cheras.
"Saya anggap Nur Rabiatul anak bertuah kerana dia boleh berjalan dan bercakap kerana ada pesakit tidak dapat berjalan, cuma kami masih mengawasi pergerakannya saja, bimbang dia terjatuh," katanya.
Dia yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang berkata, Nur Rabiatul juga pernah mempersoalkan keadaannya dan mereka selalu membawanya keluar menyertai program bersama rakan senasib supaya anaknya lebih memahami.
"Kami bawa dia menyertai banyak program supaya dia dapat melihat dan berjumpa rakan senasibnya, malah ada yang lebih serius. Itu juga membantunya memahami keadaannya," katanya.
Sementara itu, Presiden MCM Zulkifli Wahijan berkata, majlis itu meraikan 500 tetamu termasuk 38 pesakit hydrocephalus dan penaja yang banyak bekerjasama bersama badan bukan kerajaan (NGO) terbabit.
Katanya, ia adalah acara tahunan dalam menyantuni pesakit berkenaan dengan kerjasama Persatuan Pesakit Hydrocephalus Malaysia untuk berkongsi rezeki dengan mereka memerlukan.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata, MCM akan menghantar delegasi seramai tujuh individu termasuk penceramah bebas, Ustazah Asma Harun ke Turkiye dan Syria untuk bantuan pasca gempa bumi yang akan berangkat, malam esok.
Katanya, sekolah Islam pertama di Santa Catarina, Brazil juga akan memulakan operasinya bulan hadapan hasil sumbangan seorang ahli perniagaan Muslim di negara itu yang dilahirkan di Palestin.
"Beliau mewakafkan sebanyak RM13 juta bagi membangunkan sekolah berkenaan dan kita akan menyediakan prasarana seperti kerusi, meja, buku serta perkhidmatan guru," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... lagi-dengan-kecaman |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|