View: 186|Reply: 0
|
[Terengganu]
Terharu terima pencen penakat RM100,000 selepas 21 tahun suami meninggal dunia
[Copy link]
|
|
ZALIHA (tengah) menerima replika cek Faedah Pencen Penakat Perkeso sebanyak RM106.632.79 daripada Ahli Lembaga Pengarah Perkeso Datuk Ahmad Nadzarudin And Razak dan Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin. FOTO Zaid Salim
Kuala Terengganu: Seorang ibu tunggal terharu menerima wang Faedah Pencen Penakat arwah suami, meskipun lelaki itu sudah meninggal dunia sejak 21 tahun lalu.
Zaliha Yunus, 57, berkata, dia menganggap wang faedah lebih RM100,000 itu adalah rezeki tidak dijangka ditinggalkan arwah suami, Ali Embong yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam organ pada Disember 2002.
"Arwah suami bekerja sebagai pembantu juruukur dengan sebuah syarikat swasta. Ketika meninggal dunia pada 2002, saya membuat semakan dengan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) tetapi dimaklumkan arwah tidak layak.
"Saya difahamkan arwah berdaftar dengan Perkeso tetapi majikan tidak membuat caruman sejak 1997 menyebabkan waris tidak layak menerima faedah. Bagaimanapun, kebetulan anak saudara yang juga kakitangan Perkeso terdetik membuat semakan semula dan mendapati majikan ada membuat bayaran caruman secara lump sum (sekali gus) pada 2017.
"Saya bersyukur apabila semakan yang dibuat Perkeso mendapati waris layak menerima faedah caruman tetapi saya tidak tahu berapa. Hari ini saya terkejut apabila diberitahu tunggakan wang faedah hasil caruman arwah suami sebanyak RM106.732.79 selain Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM1,500," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Perkeso Peringkat Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Zaliha yang berasal dari Kampung Surau Haji Yaakub di sini, berkata, dia bercadang untuk mengadakan majlis kesyukuran selain menggunakan wang berkenaan untuk mengerjakan ibadah haji untuk diri sendiri dan arwah suami.
Berkongsi keperitan menjalani kehidupan selepas kematian suami, Zaliha berkata, bagi menyara tiga anak yang ketika itu berusia 10, 7 dan tiga tahun, dia terpaksa mengambil upah melipat baju di rumah jiran selain mengasuh bayi sehingga kini dengan pendapatan sekitar lebih RM100 sebulan.
Katanya, ketika itu hanya Allah SWT sahaja yang tahu berapa peritnya untuk menyara tiga anak termasuk seorang daripada adalah Orang Kurang Upaya (OKU).
Namun katanya, demi anak, dia membuang rasa malu dan sanggup berkorban melakukan apa sahaja pekerjaan yang mampu dilakukannya bagi menyara tiga anaknya.
"Hari ini, saya bersyukur sangat-sangat, Allah memberi rezeki yang tidak dijangka. Walaupun sudah menerima pencen (penakat) arwah suami, saya tetap terus mengambil upah mengasuh kerana dengan hasil itulah saya membesarkan anak yang kini sudah berusia 24 dan 21 tahun, manakala anak sulong (OKU) sudah meninggal dunia," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... hun-suami-meninggal |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|