CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 215|Reply: 0

[Johor] Dia satu-satunya anak perempuan saya, kalau dia sakit, saya pun sakit...

[Copy link]
Post time 23-5-2023 01:43 PM | Show all posts |Read mode

KEADAAN Nur Shahrina yang menghidap kanser pangkal rahim tahap empat. FOTO Ihsan Mohd Baharudin Ahmad

Johor Bahru: "Saya tak boleh tengok anak sakit kerana turut merasai peritnya kerana dia satu-satunya anak perempuan yang saya ada," kata bapa dua anak, Mohd Baharudin Ahmad.

Kasih sayang Mohd Baharudin, 57, yang menetap di Taman Pulai Utama, di sini terhadap Nur Shahrina, 27, tidak pernah berkurangan sekalipun anaknya itu sudah berumah tangga.

Buktinya, Mohd Baharudin gigih berikhtiar mencari wang bagi membeli ubat sebagai ikhtiar untuk merawat Nur Shahrina yang bertarung nyawa akibat kanser pangkal rahim tahap empat.

Menurut Mohd Baharudin, menantu juga suami Nur Shahrina tidak pernah mengabaikan anaknya malah masih bekerja namun sebagai bapa, dia tidak membolehkan mereka saja yang menanggung ujian berkenaan.

"Anak saya dulunya sihat namun disahkan menghidap penyakit itu selepas empat bulan mengandung anak kedua pada Disember 2021.

"Ketika itu, ia berada pada tahap satu. Ditakdirkan, cucu saya itu sihat hingga hari ini namun keadaan anak saya yang semakin lemah kerana sel kanser sudah berada pada tahap empat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohd Baharudin, Nur Shahrina sudah menjalankan rawatan radioterapi dan kemoterapi ketika penyakit berada pada tahap satu lagi.


MOHD Baharudin dan isteri, Habibah kini berikhtiar mencari wang bagi merawat anak, Nur Shahrina (tengah) yang menghidap kanser pangkal rahim tahap empat. FOTO Ihsan Mohd Baharudin Ahmad

Bagaimanapun, penyakitnya itu semakin serius malah sel kanser sudah merebak hingga ke organ penting badan.

"Doktor kata tak boleh nak buat apa lagi dan sebagai bapa, saya kena berusaha, takkan nak biar saja anak saya macam tu?

"Buat masa ini, anak saya ada makan satu ubat herba dari Taiwan dan nampak dia serasi serta lega selepas makan.

"Sekotak ada 40 biji pil dan harganya adalah RM5,420. Ia hanya boleh bertahan selama 10 hari kerana sehari perlu makan empat biji pil.

"Buat masa ini, sudah masuk kotak kedua dan saya beli dengan duit simpanan dan pendapatan hasil keuntungan membuka kedai penjagaan serta dandanan haiwan," katanya.

Mohd Baharudin berkata, ubat itu perlu dimakan selama enam bulan dengan kos mencecah RM90,000 sedangkan dia sekeluarga hanya mampu menampung sebahagian daripadanya.

"Disebabkan itu, saya ikhtiar juga dapatkan wang, salah satunya menerusi perkongsian hantaran di Facebook (Fb).

"Bukan niat saya nak raih simpati cuma berharap ada rakan dan saudara mara sudi menyumbang ikut kemampuan mereka.

"Sebagai bapa, saya sedih kerana anak saya diuji ketika dia dapat tawaran kerja sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dan tinggal lapor diri saja namun itulah dinamakan takdir tertulis untuknya," katanya.

Sementara itu, menantunya, Muhammad Syakir Noorul Ameen, 28 yang juga suami Nur Shahrina juga sedih mengenangkan penderitaan ditanggung isterinya.

"Tapi kalau saya sedih dan tunjuk di hadapannya, dia (isteri) lagi 'down' (hilang semangat) jadi saya cuba ikhtiar sehabis baik untuk merawatnya.

"Andai kata jadi apa-apa di kemudian hari, sekurang-kurangnya kami sekeluarga sudah berusaha cuma saya bekerja sebagai juruteknik saja dengan pendapatan RM2,800.

"Selain isteri, saya perlu menyara dua anak jadi agak berat cuma mujurlah majikan faham komitmen saya yang perlu uruskan isteri sebelum dan selepas pulang dari kerja.

"Sejak sakit, isteri kurang bercakap dan tiada selera makan serta bergantung dengan susu saja," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB bernombor 7042796825 atas nama Mohd Baharudin Ahmad atau menghubunginya di talian 011-10768664 atau isterinya, Habibah Mohamed, 52, di talian 019-7300104.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... akit-saya-pun-sakit
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-12-2024 05:50 AM GMT+8 , Processed in 0.648033 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list