Pekebun durian, Samsuri Ahmad menunjukkan bunga durian dan putik durian di dusunnya telah kembali bermula kembali disebabkan musim lebih panjang dari kebiasaannya kerana musim panas berpanjangan. FOTO AHMAD ISMAIL
Segamat: Peminat durian Segamat tahun ini lebih teruja kerana berpeluang menikmati raja buah itu bagi jangka masa lama berikutan tempoh durian berbuah kini melebihi empat bulan berbanding hanya tiga bulan sebelum ini.
Ini disebabkan keadaan cuaca panas berikutan fenomena El Nino mengakibatkan hasil buah mengalami tiga peringkat berbanding sebelum ini hanya dua peringkat iaitu dalam tempoh tiga bulan.
Pekebun juga peraih durian Samsuri Ahmad, 55, berkata musim durian kali ini lebih panjang disebabkan jumlah hujan yang sedikit dan cuaca panas berikutan fenomena El Nino.
"Fenomena menyebabkan pokok durian kini mudah berbunga semula di antaranya kelihatan sudah berputik.
"Musim durian ini bermula awal Mei lalu dan saya lihat buah akan berhasil dalam tiga peringkat iaitu peringkat pertama hasilnya pada Mei hingga Jun, kedua pula pada Jun hingga Julai, dan akhirnya pada Julai hingga Ogos ini," katanya ketika ditemui di dusun duriannya di Kampung Paya Jakas, Jementah, di sini, hari ini.
Samsuri yang mewarisi dusun keluargaya yang diusahakan sejak 1970-an itu berkata, walaupun peringkat penghasilan durian bertambah, tetapi kuantiti buah pada setiap pokok tetap sama iaitu dianggarkan 60 biji sepokok.
"Untung kepada penggemar raja buah ini kerana musim kali ini tempohnya bertambah dan mereka tidak kesuntukkan masa untuk merasai keenakan pelbagai jenis buah durian," katanya.
Disiarkan pada: Jun 9, 2023 @ 3:33pm
|