|
ARIF Zulkarnain (kanan) bersama Nur Iman Ahmad Khairul menerima anugerah pada Anugerah Cemerlang SPM (buta) di Kompleks MAB. FOTO Fathil Asri.
Kuala Lumpur: Belajar secara berkumpulan secara konsisten menjadi resipi kejayaan buat remaja albino, Arif Zulkarnain Azriman mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun mengalami rabun serius tahap B2.
Arif Zulkarnain yang juga pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, di sini meraih kejayaan selepas mendapat keputusan 8A dalam subjek Bahasa Melayu, Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Islam, Tasawuf, Sastera dan Kesusasteraan dan Perniagaan.
Anak sulung daripada tiga beradik itu bersyukur dengan kejayaan diraih selepas berusaha keras untuk mendapat keputusan cemerlang.
Pada masa sama, dia terkejut apabila mendapat A- dalam Sejarah kerana gagal untuk subjek itu ketika menduduki peperiksaan percubaan SPM.
"Saya orang biasa saja tetapi rezeki dapat keputusan baik dalam SPM.
"Sudah tentunya kejayaan ini terhasil kerana bantuan orang di belakang saya iaitu ibu bapa dan guru.
"Rakan di kelas belakang juga banyak membantu. Ia kerana walaupun saya duduk di kelas pertama namun mereka (rakan kelas belakang) pandai dalam Bahasa Inggeris, saya pula lemah.
"Jadi kalau tak faham perkataan atau istilah dalam bahasa Inggeris, saya akan rujuk dan bertanya dengan mereka ketikasesi belajar berkumpulan yang lazimnya diadakan selepas Isyak, "katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecerlangan Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan-SPM 2022 di Dewan Ismail Md Salleh, Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), di sini, hari ini.
Seramai 28 pelajar diraikan pada majlis yang memperuntukkan ganjaran berjumlah RM35,000 dengan pelajar 9A dan ke atas menerima RM2,000 manakala RM1,000 bagi yang memperoleh keputusan 6A hingga 8A.
Majlis itu disempurnakan oleh Presiden MAB, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Datuk George Thomas.
Bercerita lanjut, Arif Zulkarnain merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang Sains Komputer dan masih menunggu tawaran daripada pihak universiti.
"Setakat ini, saya sudah menghantar permohonan di dua universiti iaitu Universiti Sultan Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
"Tengok nanti rezeki saya di mana dan kalau boleh nak masuk UniSZA kerana terletak di negeri jiran memandangkan keluarga tinggal di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.
"Sejak kecil saya berangan nak jadi bomba sebenarnya tetapi saya ada masalah mata jadi saya harap dapat sambung pengajian dalam bidang Sains Komputer kerana mahu jadi jurutera komputer," katanya yang mengalami masalah penglihatan kesan albino.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ayaan-remaja-albino |
|