View: 349|Reply: 0
|
Kendali dron, bawa traktor bajak sawah
[Copy link]
|
|
Kendali dron, bawa traktor bajak sawah
Siti Hajar Che Satar, menerbangkan dron bagi kerja-kerja menyembur racun untuk tanaman padi di Kampong Lepah Selising di sini. FOTO BERNAMA
Pasir Puteh: Seorang gadis membuktikan perwatakan lembut bukan halangan memecah tembok dunia pekerjaan dimonopoli lelaki apabila berjaya mengusahakan tanah sawah di Kampung Lepah di sini, seawal umur 18 tahun.
Tidak seperti gadis lain seusianya, Siti Hajar Che Satar, 20, mempunyai keazaman yang sangat tinggi untuk bergelar petani wanita yang berjaya di negeri ini.
"Saya memang terdedah dengan kerja sawah sejak kecil lagi kerana ayah seorang petani, tetapi mulai serius ceburi kerjaya lasak ini bermula dua tahun lalu selepas tamat tingkatan lima," katanya, semalam.
Menurut Siti Hajar, hasratnya untuk bergelar petani awalnya tidak dipersetujui ayahnya, Che Satar Nor, 63, yang lebih suka dia menyambung pelajaran.
Namun, Siti Hajar berjaya meyakinkan ayahnya selepas berjaya mengusahakan 0.4 hektar tanah sawah sebagai percubaan dengan meraih jualan hasil pertama sebanyak RM4,000.
Siti Hajar berkata, beliau makin bersemangat untuk mengusahakan tanaman padi selepas berjaya mengekalkan 'rekod' baik sepanjang tiga musim lalu.
Bermula daripada kejayaan itu, anak bongsu daripada lapan beradik terbabit mula menambah kemahiran dirinya dengan belajar mengendalikan dron, traktor pembajak dan memandu lori sendiri daripada dua abangnya Mohd Firdaus, 27, serta Mohd Aiman, 23.
"Dua abang saya ini dianggap 'sifu' selain ayah. Mereka banyak mengajar saya mengendalikan semua peralatan pertanian untuk proses penanaman padi.
"Dalam tempoh sebulan saya berjaya menguasai kemahiran mengendalikan traktor bajak tanah selain menggunakan dron untuk proses menabur benih dan membaja," katanya.
Berbekalkan kemahiran yang dikuasainya itu Siti Hajar berhasrat menambah keluasan tanaman padinya kepada empat hektar pada musim akan datang.
Bercerita mengenai cabaran bergelar petani Siti Hajar mengakui ia bukan sesuatu yang mudah dan menuntut persediaan mental dan fizikal.
Namun, berbekalkan iltizam yang kuat dia bersedia menyahut semua cabaran itu termasuk terpaksa berjemur di bawah terik matahari.
"Ramai juga yang mempersoalkan kerja pilihan saya ini kerana biasanya gadis seusia saya sangat mementingkan kecantikan sedangkan saya sanggup berjemur di bawah terik matahari.
"Tapi bagi saya, tidak menjadi satu kesalahan jika kita mempunyai pendirian berbeza asalkan apa yang diimpikan mampu dicapai," katanya.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakh ... traktor-bajak-sawah
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|