|
ANGGOTA polis mengiringi Yew Wei Liang yang didakwa menyebabkan kematian pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir dalam kemalangan keluar dari mahkamah selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan tertuduh membela diri. FOTO Hairul Anuar Rahim
Shah Alam: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan bekas pekerja teknologi maklumat membela diri atas tuduhan membunuh pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir dalam satu kemalangan yang tular di Lebuh Raya Utara Selatan, empat tahun lalu.
Hakim Julia Ibrahim memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Yew Wei Liang, 45, di akhir kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya beliau berkata, tertuduh belum melunaskan beban pembuktian kerana keterangan menunjukkan provokasi bermula apabila dia (tertuduh) menyerang mangsa.
"Mengenai isu mempertahankan diri, tertuduh bertindak melebihi haknya apabila berterusan melanggar mangsa, walaupun ancaman sudah dipatahkan dan mangsa sedang melarikan diri.
"Selepas meneliti saksi pendakwaan, eksibit dikemukakan dan penilaian maksima keterangan (maka) mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua prima facie," katanya.
Oleh itu, mahkamah memberikan beberapa pilihan kepada tertuduh bagi proses pembelaannya selepas berbincang dengan peguamnya.
Sejurus keputusan, Yew yang hadir dengan memakai baju T berwarna putih kelihatan tenang dengan jurubahasa memberi penerangan dalam bahasa Mandarin.
Mahkamah kemudiannya memberi tiga pilihan kepada tertuduh iaitu pertama, memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi kemudian disoal balas oleh pihak pendakwaan.
Pilihan kedua ialah, memberi keterangan secara tidak bersumpah di kandang tertuduh tanpa disoal balas oleh pihak pembelaan atau ketiga, berdiam diri.
Bagaimanapun, tertuduh belum membuat sebarang pilihan dan memohon untuk berbincang dengan peguamnya terlebih dahulu.
Mahkamah kemudiannya menetapkan prosiding bela diri ini bermula 16 dan 17 Ogos depan.
Berdasarkan pertuduhan, Yew didakwa membunuh Syed Muhammad Danial di Kilometer 293.6, Lebuh Raya Utara Selatan antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang, pada 10 Ogos 2019.
Sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala tertuduh diwakili Peguam Wee Choo Keong dan Yeo Wei Min.
Sepanjang perbicaraan, seramai 20 saksi pendakwaan dan 65 eksibit termasuk dokumen berkaitan dikemukakan sepanjang prosiding yang berlangsung 27 Oktober 2021.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... iperintah-bela-diri |
|