View: 197|Reply: 0
|
[Johor]
Dukung ibu terlantar selepas bumbung tercabut dibadai ribut
[Copy link]
|
|
KEADAAN bumbung rumah penduduk di Bukit Naning tercabut selepas dibadai ribut. FOTO Alias Abd Rani
Muar: "Kami terdengar dentuman kuat sebelum melihat bumbung tercabut satu persatu. Tanpa membuang masa, saya segera ke ruang tamu mendukung ibu terlantar dan dibawa ke dapur," kata Md Said Kutiran, 53, menceritakan kejadian ribut di Kampung Parit Tengah, Bukit Naning di Bakri, di sini, semalam.
Kejadian berlaku pada jam 4.30 pagi membabitkan tiga kampung iaitu Parit Tengah, Parit Baru dan Parit Anuar menyebabkan lebih 20 rumah, premis perniagaan serta sebuah surau mengalami kerosakan.
Md Said berkata, sebelum itu, dia berada di rumah ibunya, Faisah Mokhti, 85, dan ia rutinnya setiap malam kerana wanita itu tidak mampu berjalan dan terlantar di katil.
"Apabila terjaga saya melihat angin kencang disusuli hujan lebat. Tidak lama kemudian, angin menerbangkan satu persatu bumbung di ruang tamu yang kebetulan ibu sedang terbaring di situ.
"Tanpa membuang sama, saya terus mendukung ibu dan membawanya ke ruang dapur memandangkan bahagian ini satu-satu yang tidak mengalami kerosakan.
"Saya peluk ibu sambil membaca ayat suci al-Quran dengan harapan tiada kejadian tidak diingini berlaku ke atas kami berdua," katanya ketika ditemui.
Katanya, kejadian itu menyebabkan sebahagian besar bumbung hadapan rumah tercabut serta beberapa kerosakan lain turut dialaminya.
Seorang lagi mangsa, Azali Sudar, 50, berkata, mereka bersyukur kerana sempat keluar sebelum bumbung rumahnya tercabut diterbangkan angin.
"Kami tiga beranak sempat keluar berteduh di bawah kanopi di hadapan rumah dan tidak lama kemudian, bumbung pun tercabut," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Fitri Kisdi, 34, berkata, bengkel membuat gerabak jentera pertanian turut rosak akibat kejadian itu.
"Sebahagian bumbung tercabut dan menghempap bangunan belakang. Sebelum ini pernah terjadi kejadian ribut tapi tidaklah seteruk," katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Parit Tengah, Rosdi Abd Rahman berkata, ketika ini penduduk yang mengalami kerosakan kediaman sudah membuat laporan polis.
Setakat ini, katanya, bantuan sudah disalurkan kepada semua penduduk yang terjejas dan pihaknya masih menunggu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membuat penilaian bantuan yang wajar disalurkan kepada mereka.
Dalam pada itu, nasib penduduk di ketiga-tiga kampung mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin yang turut padang meninjau keadaan rumah serta menghulurkan bantuan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... cabut-dibadai-ribut |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|