|
Petaling Jaya: Padah menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman dan menggunakan kekerasan jenayah, seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman itu terhadap bapa tiga anak itu, Hakimi Aiman Hussin, 32, selepas dia menukar pengakuannya kepada bersalah atas lima pertuduhan pada sebutan kesnya itu hari ini.
Muhammad Iskandar menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 12 bulan bagi empat kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara serentak bermula dari tarikh tangkap pada 28 Oktober 2020.
Hakimi juga didenda maksimum RM100 kerana memaki polis di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1995 dalam kejadian yang sama.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Hakimi didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan Koperal A Saravanan dan Lans Koperal Muhammad Azuwan Ahmad daripada menjalankan kewajipan mereka mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dia turut didakwa atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan kegentaran terhadap warga emas, K Paramavaran, 62, dengan mengugut untuk menumbuk lelaki itu mengikut Seksyen 506 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Hakimi juga didakwa menyamar sebagai penjawat awam iaitu pegawai polis dari Unit Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kepada Paramavaran mengikut Seksyen 170 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dia turut didakwa berkelakuan kurang sopan terhadap Saravanan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1995 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pintu masuk utama sebuah kondominium di Empire Damansara di sini, pada 2 pagi, 28 Oktober 2020.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh yang berada dalam keadaan mabuk tidak berpuas hati dengan tindakan pihak polis dan pengawal keselamatan yang tidak membenarkan dia masuk ke kawasan lobi kondominium itu kerana tidak mempunyai kad akses.
Pihak polis kemudiannya menasihatinya untuk beredar namun tertuduh yang tidak berpuas hati memaki dan mencuba untuk menendang serta menumbuk anggota polis di situ sebelum dia ditahan selepas pergelutan berlaku antara mereka.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Khairun Nisa Noor Harun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh, namun peguam Fadhli Sutris yang mewakili Hakimi memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya sudah insaf dan ingin pulang ke pangkuan keluarga selain sudah direman lebih dua tahun bagi kes yang dihadapi.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -dipenjara-12-bulan |
|