|
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Kuala Lumpur: Pengikut ajaran sesat, SiHulk yang kini berada di New Zealand bersama-sama dengan ketua ajaran itu, Suhaini Muhammad dipercayai cuba mendapatkan permohonan suaka dari kerajaan di sana dengan menggunakan alasan diancam rakyat di negara ini.
Mendedahkan perkara itu, sumber keselamatan berkata, mereka masuk ke negara terbabit menggunakan pas pelancong dan tindakan memuat naik video mempromosi ajaran itu dipercayai sebagai strategi mereka untuk mendapatkan perlindungan dan menetap terus di negara terbabit.
"Apabila video mereka ini dikecam rakyat di negara ini dan membangkitkan kemarahan netizen kemungkinan mereka akan menggunakannya sebagai alasan ancaman keselamatan untuk mendapatkan suaka dari negara terbabit.
"Difahamkan ada dalam kalangan mereka yang bekerja memetik buah dan ada yang tidak bekerja," katanya.
Sumber keselamatan berkata, kebanyakan pengikutnya ini terdiri daripada stokis dan penjual produk minuman kesihatan 'air ajaib' yang didakwa mampu merawat penyakit kronik dan Covid-19.
"Bagaimanapun kilang terbabit juga sudah tidak beroperasi dan mereka melarikan diri ke New Zealand untuk meneruskan ajaran itu," katanya.
Terdahulu, Harian Metro mendedahkan dianggarkan 150 pengikut ajaran sesat, SiHulk kini berada di New Zealand bersama-sama dengan ketua ajaran itu, Suhaini Muhammad.
Sumber keselamatan bagaimanapun memaklumkan, jumlah sebenar pengikut ajaran itu yang masih berada di negara ini tidak diketahui.
Antara penyelewengan ajaran sesat itu ialah mendakwa Nabi Muhammad SAW sebagai Tuhan.
Selain itu, mereka mendakwa Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai jantina, menafsir sendiri sebuah hadis dengan menyatakan baginda tiada kemaluan dan sebagainya.
Terkini, ajaran itu giat menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan fahaman mereka dengan pengakuan daripada beberapa individu dipercayai pengikut ajaran itu bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan.
Ajaran sesat yang diasaskan oleh Suhaini yang kini dipercayai berada di New Zealand namun masih giat mempromosikan dakyah kumpulan berkenaan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... lk-cuba-mohon-suaka |
|