View: 863|Reply: 0
|
[DUNIA]
Alat solek rungkai jantina rangka manusia purba
[Copy link]
|
|
Alat solek rungkai jantina rangka manusia purba
KEADAAN rangka manusia prasejarah berusia 14,000 tahun yang ditemui di Gua Keledung Kecil tujuh bulan lalu. FOTO BERNAMA
Gua Musang: Rangka manusia prasejarah berusia 14,000 tahun yang ditemui di Gua Keledung Kecil, Lembah Nenggiri tujuh bulan lalu berkemungkinan seorang wanita berdasarkan penemuan bahan alat solek pada tangan kirinya.
Bahan berkenan, mineral hematit diguna bagi mendapatkan rona merah pada zaman pra-Neolitik.
Wanita prasejarah itu dipercayai daripada kelompok masyarakat hoabinhian yang menghuni kawasan Hulu Kelantan dan kedudukan rangkanya ketika ditemui berada dalam keadaan mengiring serta melengkung sepenuhnya menghadap arah barat daya.
Menariknya, Ketua Penyelidik ekskavasi Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli merumuskan dapatan itu menunjukkan wanita berkenaan semasa hayatnya mempunyai kepakaran mengendalikan mineral hematit sebagai alat solekan atau ritual pengebumian berdasarkan pada posisi rangka berkenaan.
Selain alat solek, mineral hematit juga digunakan sebagai alat melakar di gua dan turut dijadikan alat bekalan kubur pada zaman manusia purba.
"Kami juga jumpa banyak hematit bersama rangka ini. Tangan kiri si mati memegang mineral hematit dan ini menunjukkan bahawa si mati pada masa hidupnya mempunyai kepakaran mengendalikan hematit sebagai alat solekan atau ritual pengebumian," katanya kepada Bernama.
GUA Keledung Kecil di Lembah Nenggiri, Gua Musang. FOTO BERNAMA
Beliau yang juga Felo Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, pasukan ekskavasi turut menemui batu kristal atau kuarza yang juga mineral sangat bernilai tinggi pada bahagian kedua-dua mata wanita purba itu.
Bernama yang turut mengikuti proses ekskavasi di Lembah Nenggiri baru-baru ini diberitahu, dua biji kristal berwarna jernih itu diletakkan sebagai alat iringan si mati dalam ritual pengebumian masyarakat prasejarah.
"Dalam tradisi pengebumian Orang Asli, mereka akan meletakkan batu pada mata si mati kerana dari segi falsafahnya, mata si mati akan menjadi batu di alam kubur dan kristal pula sejenis batuan, maka sesuai diletakkan di bahagian mata," katanya.
Ekskavasi di Gua Keledung Kecil adalah antara usaha bagi menyelamatkan khazanah warisan purba di Lembah Nenggiri yang sebahagiannya dijangka akan tenggelam sepenuhnya apabila Projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027.
PENEMPATAN dan tamadun manusia dapat dilihat berada di Gua Keledung berikutan tulisan zaman purba dapat dikesan di dinding gua tersebut. FOTO BERNAMA
Projek berkenaan dijangka menenggelamkan gua yang mempunyai warisan arkeologi seperti Gua Cha, Gua Chawan, Gua Kecil, Gua Lubang Kelawar (Batu Tambah), Gua Keledung, Gua Rahmat, Gua Gemalah dan Gua Kelew.
Menjelaskan lebih lanjut, Zuliskandar berkata, pasukan ekskavasi UKM yang turut dibantu Pembantu Muzium Kanan Tertinggi Bahagian Arkeologi Jabatan Warisan Negara (JWN) Khairil Amri Abdul Ghani dan Pembantu Operasi Konservasi JWN Abdul Ghafar Abdul Ghani perlu berhati-hati ketika mengeluarkan rangka manusia yang dipercayai lebih tua daripada Perak Man yang sebelum ini dianggarkan wujud sejak 10,000 hingga 11,000 tahun yang lalu.
Proses itu mengambil masa dua hari berikutan rangka berkenaan sudah terdedah kepada udara selama tujuh bulan manakala struktur tanah yang lembab dan bahagian dalaman rangka itu dipenuhi dengan lapisan tanah sehingga menyukarkannya untuk dibawa keluar.
Malah, keadaan semakin sukar apabila persekitaran gua menjadi gelap disebabkan cuaca mendung dan hujan renyai sehingga mengehadkan fokus pandangan sepanjang proses mengeluarkan rangka dilakukan.
PROSES ekskavasi sebuah rangka manusia prasejarah berusia 14,000 tahun yang ditemui di Gua Keledung Kecil. FOTO BERNAMA
"Rangka ini adalah manusia prasejarah dan kerana itu kerja konservasi perlu dilakukan dengan berhati-hati dan tidak boleh terburu-buru bagi memastikannya tidak rosak. Untuk kerja ini, kami dibantu mereka yang pakar daripada Jabatan Warisan, yang sudah biasa menjalankan kerja mengangkat tulang.
"Jika proses mengangkat dilakukan dengan terlalu cepat, kami bimbang rangka ini akan pecah atau retak dan sebagainya," katanya sambil menambah pasukan UKM dan JWM berjaya memisahkan bahagian tangan serta kaki rangka manusia prasejarah secara satu persatu bagi proses pertama konservasi pengeluaran rangka.
Bagi memelihara rangka berkenaan, pasukan mengaplikasikan teknik cucian kering dengan menggunakan peralatan lidi buluh dan berus kecil secara teliti dan berhati-hati terutama pada bahagian tulang yang sangat rapuh.
PROSES ekskavasi dilakukan dengan berhati-hati untuk mengelakkan rangka rosak. FOTO BERNAMA
Menurut Khairil Amri yang terlibat dalam bidang arkeologi sejak tahun 1999, teknik ini digunakan bagi rangka yang sangat reput untuk mengasingkan tanah yang melekat pada rangka selain turut menggunakan pelbagai kaedah lain dalam proses konservasi ini.
Pasukan ini berjaya mengeluarkan keseluruhan bahagian atas badan rangka wanita purba itu bermula dari bahagian pelvis, rusuk sehingga tengkorak tanpa memisahkannya untuk dibawa ke Fakulti Perubatan UKM, Kuala Lumpur bagi kajian seterusnya.
Bagi memastikan khazanah negara itu tidak rosak, kenderaan tidak boleh dibawa laju dan hanya boleh dipandu 60 kilometer sejam sahaja yang dikendalikan oleh Khairil Amril dari Gua Keledung Kecil ke Fakulti Perubatan, UKM dengan perjalanan sejauh kira-kira 300 kilometer.
DR Zuliskandar (tengah) dan petugas JWN serta pasukan ekskavasi UKM purba mengeluarkan rangka dari gua. FOTO BERNAMA
Selepas menempuh masa lebih tujuh jam perjalanan, rangka prasejarah itu selamat tiba di Fakulti Perubatan pada pukul 2 petang 13 Julai lalu dan dibawa terus ke makmal Jabatan Anatomi bagi mengetahui tahap kesihatan dan ketumpatan tulang rangka.
Kajian itu dikendalikan oleh pasukan Jabatan Anatomi dan Farmakologi UKM yang diketuai Ketua Kumpulan Penyelidikan Projek 'Bone Quality of Prehistoric Human in the Malay Peninsula', Profesor Dr Ima Nirwana Soelaiman.
"Secara kasarnya daripada apa yang kami lihat, rangka manusia ini mempunyai tulang femur yang agak besar, kelihatan robust dan boleh diramalkan manusia ini sihat semasa hidupnya.
"Namun, analisis lebih terperinci perlu dijalankan untuk mengesahkan andaian ini", katanya sambil menambah, proses pertama yang akan dilakukan adalah membersihkan tanah daripada tulang rangka.
SERPIHAN tulang dan bahagian kepala rangka manusia berkenaan. purba. FOTO BERNAMA
Kaedah rendaman air suling digunakan untuk melembutkan tanah yang keras dan melekat pada tulang yang tidak dapat dibersihkan dengan menggunakan lidi buluh dan berus kecil. Seterusnya tulang-tulang dikeringkan dalam suhu bilik sehingga betul-betul kering. Proses ini mengambil masa selama satu hingga dua bulan.
Pensyarah Jabatan Anatomi Fakulti Perubatan UKM Profesor Madya Dr Elvy Suhana Mohd Ramli berkata, proses pengeringan rangka dilakukan pada suhu bilik 18 hingga 22 darjah Celsius, tidak bercahaya dan kering bagi mengelakkan pertumbuhan mikroorganisma seperti kulat yang akan menyebabkan tulang reput dengan cepat.
"Tulang boleh bertahan dengan lama tetapi dengan syarat kita perlu sentiasa selenggara. Maksudnya, segala habuk yang melekat di tulang perlu dibersihkan supaya tulang tidak rosak atau terkopek. Dengan cara ini, tulang akan bertahan berpuluh tahun atau selamanya," jelas Elvy
DR Elvy Suhana menyusun tulang rangka yang ditemui di Gua Keledung Kecil. FOTO BERNAMA
Selepas bersih dan betul-betul kering, proses seterusnya ialah mengkaji struktur dalaman tulang menggunakan alat radas Micro Computed Tomogram (mikro-CT) untuk mengetahui rupa bentuk dan kepadatan dalaman tulang manusia prasejarah itu. Proses imbasan ini mengambil masa lebih kurang selama dua minggu.
Imej dua dimensi yang diperoleh daripada imbasan mikro-CT itu akan dibina menjadi imej tiga dimensi menggunakan perisian komputer yang khusus.
Ukuran ketebalan dan jumlah trabekula dalaman tulang secara kuantitatif juga akan dihasilkan oleh perisian komputer berkenaan dan proses ini rumit serta dijangka mengambil masa agak lama, iaitu sekitar dua hingga tiga bulan.
DR Ima Nirwana (tiga dari kiri) dan Dr Elvy Suhana (tiga dari kanan) bersama ahli pasukannya menyusun tulang rangka yang ditemui di Gua Keledung Kecil di Lembah Nenggiri, Gua Musang. FOTO BERNAMA
Sumber:https://www.hmetro.com.my/utama/ ... angka-manusia-purba
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|