View: 1769|Reply: 0
|
[Johor]
Sanggup berhenti kerja urus ibu bapa angkat
[Copy link]
|
|
Wakil Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Mohd Nasir Ishak menyampaikan sumbangan kepada pesara askar, Kamri Doryat dan isteri, Faridah Jamal di rumah keluarga di Pengkalan Rinting di Johor Bahru di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Johor Bahru: "Anak angkat saya sangat penyabar kerana selama hampir setahun dia sanggup berhenti kerja demi mengurus saya dan isteri," kata pesara tentera, Kamri Doryat, 64.
Katanya, sejak tiga tahun lalu, Nur Ikmal Samsuddin, 24, berdepan pelbagai cabaran bagi menguruskan dia dan isteri, Faridah Jamal, 65, kerana diuji dengan derita pelbagai penyakit.
Menurutnya, dia mengalami penyakit paru-paru tersumbat kronik (COPD) pada 2020 sebelum disahkan mengalami masalah tulang belakang.
Katanya, manakala isterinya menghidap kencing manis kehilangan kaki kanannya apabila terpaksa dipotong hingga paras lutut pada pertengahan tahun lalu.
"Saya dan isteri masing-masing pernah terlantar dan keluar masuk hospital, Nur Ikmal tidak jemu mengurus kami.
"Dia terpaksa berhenti kerja hampir setahun bagi memberi jagaan sepenuh masa kepada kami dan kini saya dan isteri mampu mengurus diri sendiri apabila kesihatan bertambah baik," katanya.
Sementara itu, Faridah berkata, anak tunggalnya meninggal dunia pada usia empat tahun menyebabkan mereka menjadikan Nur Ikmal sebagai anak angkat.
Menurutnya, dia dan suaminya bersyukur kerana Nur Ikmal banyak berkorban demi memberi penjagaan kepada mereka.
Katanya, walaupun sudah mula bekerja sejak seminggu lalu, Nur Ikmal tetap memastikannya dan suami dalam keadaan selesa dan baik sebelum keluar bekerja.
"Dia bekerja di kaunter parkir di Seri Alam dan sebelum keluar bekerja dia memastikan segala-galanya sudah siap termasuk ubat, lampin pakai buang dan keperluan lain.
"Buat masa ini anak saudara kami yang tinggal berhampiran akan menghantar makanan," katanya.
Sementara itu, Nur Ikmal berkata, pasangan berkenaan memberi penjagaan kepadanya sejak kecil dan adalah ibu bapa penyayang.
"Bapa pernah mengalami lumpuh manakala ibu pula terlantar, namun saya sentiasa memberi semangat kepada mereka untuk melawan penyakit dan tidak putus berdoa.
"Ibu juga mengalami masalah kurang pendengaran dan kerap lupa. Bagaimanapun mereka kini dalam keadaan lebih baik dan membolehkan saya kembali bekerja demi meringankan beban keluarga," katanya.
Keluarga berkenaan menerima kunjungan daripada Wakil Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Johor, Mohd Nasir Ishak di kediaman keluarga di Pengkalan Rinting di sini, hari ini.
Mohd Nasir berkata, keluarga berkenaan bergantung sepenuhnya kepada pencen pesara kerajaan itu kira-kira RM500 sebulan.
"MAIJ menyumbang katil hospital, mesin oksigen, kerusi roda, barangan dapur serta susu khas dan lampin pakai buang bernilai keseluruhan RM10,000," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... rus-ibu-bapa-angkat |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|