|
Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong (kanan) bersama peguam Ng Kian Nam (kiri) dan tiga mangsa yang mendakwa ditipu seorang lelaki membabitkan aktiviti pembekalan emas. FOTO Ihsan MCA
Kuala Lumpur: Seorang pemilik kedai emas didakwa memperdaya beberapa pembekal emas untuk mendapatkan bekalan emas tanpa membuat sebarang bayaran sebelum menghilangkan diri hingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM11 juta.
Lelaki berusia 30 tahun itu yang memiliki sebuah kedai emas di Shah Alam, Selangor dan dikesan menggunakan modus operandi sama untuk menipu pembekal emas sejak setahun lalu.
Seorang mangsa yang mahu dikenali Tang, 32, mendakwa mengenali lelaki itu melalui seorang lagi pemilik kedai emas pada 2021.
Menurutnya, lelaki itu beritahu mahu membuka perniagaan emas dan memintanya membekalkan barangan kemas.
"Pada mulanya urusan pembayaran dan pembekalan berjalan lancar sehinggalah dia mula gagal melunaskan hutang serta memberikan pelbagai alasan.
"Pada 9 Januari lalu, lelaki itu meminta saya membekalkan 18 jenis barangan kemas dengan berat keseluruhan 2,123.06 gram.
"Dia perlu membayar wang upah serta nilai emas dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000 secara tunai tetapi dia minta saya hantar emas ke kedainya dan akan buat bayaran dalam tempoh tiga jam," katanya ketika sidang media di Pejabat MCA di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, selepas tempoh dijanjikan lelaki itu gagal membuat bayaran dan tidak dapat dihubungi, malah kedai emasnya juga ditutup.
Berikutan kejadian itu, Tang tampil membuat laporan polis dan mendakwa menanggung kerugian lebih RM1 juta.
Seorang lagi mangsa mahu dikenali Loi, 52, mendakwa syarikatnya mengalami kerugian kira-kira RM1.5 juta selepas lelaki itu gagal membuat bayaran bagi barangan kemas yang dibekalkan pada Januari lalu.
Beliau yang juga pengurus syarikat pembekalan emas di Klang, Selangor berkata, lelaki itu berjanji akan membuat bayaran dalam tempoh tiga bulan tetapi sehingga kini pihaknya tidak menerima bayaran itu.
Sementara itu, Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menerima aduan daripada sekurang-kurangnya 10 mangsa yang kerugian lebih RM11 juta akibat ditipu lelaki itu.
Beliau yakin, ramai lagi individu yang menjadi mangsa dan meminta mereka membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Michael turut berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -pemilik-kedai-emas |
|