|
TANGKAP layar video tular memaparkan seorang wanita dipukul di tangga. FOTO Tular
Kuala Lumpur: Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA bekerjasama dengan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bagi mengumpul maklumat berhubung kes seorang wanita dibelasah empat individu yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menerima banyak panggilan daripada orang ramai berhubung kejadian itu.
"Masyarakat mahu kami membantu pihak berkuasa untuk mendapatkan keadilan dalam kes ini kerana tindakan memukul mangsa terbabit adalah amat kejam.
"Disebabkan itu, kita jalinkan kerjasama dengan MCPF bagi mendapatkan maklumat berhubung kes berkenaan memandangkan kita tidak tahu keberadaan wanita terbabit serta lokasi kejadian," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma MCA di sini, hari ini.
Turut hadir Naib Pengerusi MCPF Datuk Seri Dr King Lim Chin Fui dan Pengerusi MCPF Melaka Edison Chan.
Micheal berkata, terdapat beberapa kemungkinan situasi yang menyebabkan wanita berkenaan dipukul seperti di dalam video tular berkenaan.
"Dalam video berkenaan, kita nampak wanita itu dipukul oleh empat individu iaitu dua lelaki dan dua wanita. Setiap kali dipukul, wanita itu meminta maaf terhadap mereka.
"Melihat kepada situasi ini, terdapat kemungkinan dia mungkin dipaksa melakukan sesuatu atau dia dipukul kerana isu cemburu. Ini adalah sesuatu yang kita boleh andaikan," katanya.
Menurutnya, terdapat juga kemungkinan selepas video berkenaan tular, individu yang memukul mangsa akan bertindak untuk membuatkan wanita berkenaan 'senyap'.
"Apa yang kita bimbang sekarang adalah pelaku itu akan bertindak untuk membuatkan wanita berkenaan 'senyap' bagi membolehkan orang ramai lupa kejadian terbabit,"
katanya.
Sementara itu, King berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi pihaknya atau Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA untuk tindakan lanjut.
"Maklumat yang diperolehi daripada orang ramai itu nanti akan turut disalurkan kepada pihak polis supaya mereka dapat mengesan suspek terbabit dalam kes ini.
"Orang ramai boleh menghubungi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA di talian 03-22033888 atau MCPF di talian 03-21810055 bagi menyalurkan maklumat," katanya.
Pada 1 Ogos lalu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan ada menerima laporan berhubung video tular yang memaparkan seorang wanita dipukul di tangga.
Laporan diterima daripada seorang lelaki pada 30 Julai lalu yang mendakwa wanita dalam video itu adalah anak perempuannya.
Lelaki itu mendakwa anaknya keluar dari bandar ini sejak Disember tahun lalu berikutan masalah keluarga.
Sejak itu, mangsa yang berusia 24 tahun tidak pulang ke rumah dan tidak dapat dihubungi keluarga.
Sehingga kini, tidak dapat dipastikan kedudukan atau lokasi keberadaan mangsa.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... a-dipukul-di-tangga |
|