|
KD Laksamana Tun Abdul Jamil tiba di perairan Pulau Perak bagi membantu 14 pemancing yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu. FOTO IHSAN TLDM.
Lumut: Empat belas lelaki yang dilaporkan hilang ketika memancing sejak Khamis lalu berjaya ditemukan selamat oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perairan Pulau Perak di sini, semalam.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM menerusi kenyataan, berkata maklumat mengenai kedudukan bot pancing Northern Hunter itu diterima oleh Pusat Operasi Markas Wilayah Laut 3, Pulau Langkawi.
Katanya, Kapal Diraja (KD) Laksamana Tun Abdul Jamil yang sedang dalam penugasan Operasi Rondaan Selat Melaka diaturgerak ke lokasi bot terbabit bagi menghulurkan bantuan.
"Mangsa yang terdiri daripada sembilan pemancing dan lima kru itu disahkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan setelah terapung selama tiga hari akibat kerosakan enjin.
"Setiba di lokasi, anggota teknikal kapal menyiasat punca enjin bot gagal dihidupkan dan mendapati ia diakibatkan oleh pukat yang bergumpal pada bebaling dan kemudi bot berkenaan," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, Pegawai Memerintah KD Laksamana Tun Abdul Jamil, Komander Megat Mohamad Sofwan Firdaus Megat Mohamad Yunus mengarahkan bot pemancing itu ditunda ke Pulau Segantang yang terletak sejauh 61 batu nautika (110 kilometer) dari lokasi kejadian.
"Setiba di perairan Pulau Segantang pada jam 1.30 pagi Ahad, ia diserahkan kepada rakan pemilik bot untuk ditarik ke jeti berhampiran bagi kerja-kerja pembaikan selanjutnya.
"Insiden ini sekali lagi membuktikan komitmen TLDM dalam memelihara kesejahteraan komuniti maritim negara," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... i-ditemukan-selamat |
|