|
GAMBAR HIASAN
Kuala Lumpur: Platform e-dagang Shopee mengambil tindakan pantas menyingkirkan penjualan air minuman jenama SiHulk yang didakwa boleh mengubati pelbagai jenis penyakit.
Jurucakap Shopee berkata, pihaknya sudah menyingkirkan senarai jualan dan dan penjual berkenaan daripada platform mereka serta-merta.
Menurutnya, pihaknya komited untuk membekalkan pengguna dengan pengalaman membeli-belah yang selamat, boleh dipercayai dan memuaskan.
"Peniaga dikehendaki mematuhi undang-undang tempatan dan polisi barangan terlarang kami.
"Kami mengingatkan peniaga bahawa senarai jualan yang didapati melanggar undang-undang atau syarat terlarang akan disingkirkan," katanya pada kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, air minuman itu masih dijual secara dalam talian di dua laman e-dagang dengan seorang peniaga di setiap platform terbabit.
Bagaimanapun, pemerhatian mendapati, peniaga di sebuah platform e-dagang sudah tidak aktif sejak 13 minggu lalu dan hanya ada dua ulasan pelanggan dengan pembelian terakhirnya pada Mac tahun lalu.
Ahad lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dilaporkan akan menyiasat aktiviti jualan secara dalam talian minuman berkenaan.
Julai lalu, media melaporkan penutupan aktiviti perniagaan membabitkan kilang air minuman yang dipasarkan kumpulan ajaran sesat SiHulk di Johor Bahru, Johor susulan penarikan sijil halal dan gagal mematuhi piawaian ditetapkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... numan-jenama-sihulk |
|