|
Rompin: Mohd Azhar Yaakub setia bersama isterinya, Nurfaddilah Bahari yang bukan hanya lumpuh sebelah kiri badan tetapi juga menghidap barah payudara.
Nurfaddilah, 39, lumpuh pada 2020 akibat pembuluh darah pecah kemudian diuji pula dengan barah payudara Ogos tahun lalu.
Keadaan itu menyebabkan Nurfaddilah tiada pilihan melainkan menjalani prosedur membuang payudara kanannya.
Foto: Harian Metro
Lantaran masalah kesihatan dan pergerakan Nurfaddilah yang terbatas, Azhar, 45, perlu ambil tanggungjawab sepenuhnya untuk menguruskan empat anak berusia lima hingga 19 tahun.
Mohd Azhar yang menetap di Felda Keratong 10, di sini berkata, semua rutin itu dilakukan sejak tiga tahun lalu iaitu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dia mengakui sukar untuk menggalas tugas sebagai ibu dan bapa tetapi pendedahan terhadap kerja rumah sejak kecil dan sokongan keluarga banyak membantunya membiasakan diri.
"Sebulan sebelum isteri lumpuh, dia alami simptom kerap sakit kepala dan keadaan itu berlarutan hingga menghidap darah tinggi yang menyebabkan pembuluh darah pecah dan akhirnya jadi seperti sekarang.
"enerimaan saya waktu itu memang terkejut kerana tiada pengalaman. Tertekan pun ada memikirkan adakah isteri dapat bertahan, mujur majikan dan keluarga faham serta banyak membantu.
"Dua minggu isteri koma di unit rawatan rapi (ICU) kemudian dibenarkan keluar hospital tetapi separa sedar yang membuatkannya (isteri) tidak bercakap selama lebih setahun.
"Rezeki saya agaknya waktu itu kerana berlaku dalam tempoh PKP jadi dapat menjaga isteri sambil bekerja dari rumah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Mohd Azhar berkata, doktor pernah mengatakan isterinya tiada harapan untuk sembuh.
Bagaimanapun, Mohd Azhar enggan berputus asa untuk berikhtiar merawat isterinya termasuk dengan mencuba rawatan tradisional.
"Dua minggu sekali, saya akan bawa isteri ke sebuah klinik di Kuantan, Pahang untuk cuci luka selain menghantarnya buat urutan badan.
"Buat masa ini, isteri tak ambil makanan tambahan kerana doktor tak benarkan jadi bergantung dengan ubat dibekalkan saja.
"Alhamdulillah, isteri saya yang dulunya terlantar mula tunjukkan perkembangan positif iaitu boleh duduk di atas kerusi roda sejak setahun lalu dan boleh berdiri untuk masak.
"Cuma, saya masih perlu angkat dia untuk pergi mandi dan pantau keadaannya.
"Jujurnya saya sudah biasa cuma ada ketika, runsing fikirkan kewangan kerana ada anak masih bersekolah dan isteri pula belum dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) walaupun pendapatan bersih saya hanya RM1,300," katanya yang bekerja sebagai pegawai FELDA.
Mohd Azhar berkata, isterinya pernah memintanya berkahwin lain untuk mencari peneman yang boleh memberi layanan lebih baik dan membahagiakannya.
"Katanya jika kahwin lain, saya ada teman yang boleh bantu menjaganya.
"Bagaimanapun, saya belum berfikir ke arah itu walaupun ada berkenalan dengan wanita lain termasuk yang menawarkan diri menjadi isteri kerana memikirkan kemampuan dan penerimaan anak.
"Buat masa ini, lebih baik begini saja dan selagi ada kudrat, saya akan terus menjaga isteri kerana mahu melihatnya sembuh serta bersama membesarkan anak kami," katanya.
Sementara itu, Nurfaddilah mengakui sukar menerima hakikat keadaan dirinya yang dulunya sihat tetapi kini sakit hingga pernah mengalami kemurungan.
Bagaimanapun, Nurfaddilah bersyukur dapat mengharungi ujian itu dengan adanya suami yang setia walaupun berat untuk ditanggung terutama selepas disahkan menghidap barah.
"Alhamdulillah, suami jaga saya dengan sabar. Kalau dengan pasangan lain, mungkin saya sudah kena tinggal.
"Saya berharap kalau dia terbuka hati cari peneman tetapi buat masa ini, Allah bagi dia setia dengan saya.
"Bukan apa, saya faham dia suami penat cari rezeki dan perlu isteri yang boleh memberi layanan kepadanya namun ditakdirkan saya pula jadi begini," katanya.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Maybank bernombor 151119262989 atas nama Nurfaddilah Bahari. -CARI
Sumber: Harian Metro |
|