Penduduk setempat menunggu di tepi jalan untuk kembali ke barat Maui selepas kebakaran hutan yang merebak luas akibat taufan memusnahkan sebahagian besar pekan bersejarah Lahaina, di Kahului, Hawaii, Amerika Syarikat (AS). - Foto REUTERS
Beliau menggesa pelancong supaya meninggalkan Maui, sambil menyatakan mereka boleh mencari perlindungan di pusat konvensyen di Honolulu, di pulau Oahu.
Bagaimanapun menurut Leftenan Gabenor Sylvia Luke, usaha pemindahan menjadi rumit berikutan gangguan bekalan elektrik dan perkhidmatan telefon bimbit, kerana komunikasi di barat Maui hanya tertumpu kepada perkhidmatan satelit.
"Tempat perlindungan menerima sangat ramai orang sedangkan kami hanya mempunyai sumber yang terhad," katanya.
Katanya, setakat ini negeri itu membuka sekurang-kurangnya lima tempat perlindungan pemindahan.
Selain Pengawal Kebangsaan Hawaii, Pengawal Pantai AS dan Armada Ketiga Tentera Laut membantu usaha mencari dan menyelamat di Maui dan Marin AS menghantar helikopter ke Pulau Besar, manakala Jabatan Pengangkutan AS membantu usaha pemindahan, kata Presiden AS, Joe Biden.
Hingga malam Selasa, beratus-ratus hektar terbakar dengan jalan dan sekolah ditutup di bahagian Hawaii dan Maui County, menurut pengisytiharan darurat yang dikeluarkan oleh Luke.
Hawaii County merangkumi Pulau Besar, yang terletak di selatan Maui.
Pegawai berkata, angin dari Taufan Dora mengakibatkan kebakaran merebak ke seluruh negeri. Ribut itu berada kira-kira 1,380 kilometer (km) ke barat daya Honolulu setakat jam 11 pagi waktu tempatan, kata Pusat Taufan Kebangsaan.
"Angin kencang paling teruk sepatutnya berakhir pada lewat semalam atau awal pagi hari ini," kata peramal cuaca NWS di Honolulu, Ian Martin. - REUTERS
|