|

Kamarudin menunjukkan rumahnya yang ditenggelami akibat hujan lebat di Kampung Sungai Suloh, Batu Pahat. NSTP/ALIAS ABD RANI
BATU PAHAT: Dilanda banjir kilat buat kali ketujuh dalam tempoh kurang tiga bulan, membuatkan penduduk Kampung Sungai Suloh bimbang jika keadaan bakal menjadi lebih buruk.
Kamarudin Palawar, 59, adalah antara puluhan mangsa banjir kilat di kampung itu hari ini, dengan air dilaporkan naik sehingga paras paha.
Rumah beliau antara yang teruk dilanda banjir kilat, selain beberapa rumah lain di kawasan sekitar manakala Sekolah Agama Sungai Suloh terpaksa ditutup kerana dinaiki air.
"Air naik mendadak, kami tak sempat menyelamatkan semua barangan dalam rumah."
"Bila hujan lebat memang cepat air naik, ini kali ketujuh dalam tempoh kurang tiga bulan.
"Pagi tadi hujan lebat dan dalam jam 10 pagi, air mula memasuki rumah," katanya yang ditemui di sini, hari ini.
Kamarudin bersama isteri, Robiah Abd Ghani, 59, terus mengemas barang namun tidak sempat kerana air laju memasuki rumah.
Katanya, keadaan menjadi lebih kelam-kabut apabila benteng penahan banjir yang dibina pecah, menyebabkan lebih 20 rumah penduduk sekitarnya turut dinaiki air.
Beliau dan isteri serta anak terpaksa bermalam di rumah adiknya tidak jauh dari situ buat sementara itu.
Seorang lagi mangsa, Saodah Abdul Ghani, 38, berkata mereka sekeluarga penat mengalami situasi seperti ini setiap kali hujan lebat.
"Setiap kali hujan, kami kena bersiap sedia termasuk memindahkan barangan dalam rumah ke tempat lebih tinggi.
"Kami tak tahu hendak buat macam mana lagi," keluhnya.
Ketua Kampung Sungai Suloh, Mohd Kamaruddin Shah Kamari, berkata masalah banjir di kampung itu seolah-olah tiada berkesudahan walaupun pelbagai aduan dibuat kepada pihak berkenaan.
"Perkara ini sudah lama berlarutan dan kerisauan kami kalau hujan lebat ialah banjir kilat.
"Kami berharap pihak berkenaan mengambil tindakan segera. Sesi persekolahan sekolah agama terpaksa ditutup hari ini selepas kawasan dan bilik darjah ditenggelami banjir," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... at-dalam-tiga-bulan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|