|
Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga tempatan ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penjualan kandungan penstriman haram di Puchong, Selangor, kelmarin.
Suspek berusia 29 tahun itu ditahan menerusi operasi bersepadu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan ASTRO di sebuah premis perniagaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata suspek ditahan ketika sedang menjual 'android box' yang didapati mengandungi salinan langganan ASTRO secara haram.
Beliau berkata, enam unit 'android box' jenama SVI 9S tidak memiliki rekod perakuan SIRIM, wang tunai bernilai RM500 dan sekeping resit turut dirampas dalam serbuan terbabit.
Hasil siasatan, katanya, sindiket terbabit membuat penjualan 'android box' secara terus kepada pembeli di premis perniagaan mereka.
"Salinan siaran ASTRO hanya dimuat naik ke dalam peranti yang dijual apabila ada permintaan daripada pelanggan.
"Sindiket akan bayaran bernilai RM468 bagi setiap peranti yang dijual kepada pelanggan.
"Penjualan dan pembelian kandungan penstriman haram adalah kesalahan.
"Justeru, orang ramai diingatkan tidak terbabit dalam urus niaga sedemikian," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43A Akta Hak Cipta 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM200,000, penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
https://www.bharian.com.my/berit ... an-penstriman-haram |
|