|
PESAWAT Beechcraft Model 390 (Premier 1)
Kuala Lumpur: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) setakat ini sedang mengumpul maklumat mengenai kesemua pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang digunakan di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap kesemua pesawat itu selepas diarahkan oleh Kementerian Pengangkutan, semalam.
"Setakat ini, kita belum mendapat jumlah sebenar pesawat itu.
"Bagaimanapun, CAAM sedang mengenalpasti keseluruhan pesawat jenis Beechcraft itu dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," katanya.
Norazman berkata, pihaknya turut membantu Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) berkaitan insiden nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1), yang terhempas di Elmina, Shah Alam, petang Khamis lalu.
"BSKU akan menjalankan siasatan menyeluruh dan akan mengeluarkan laporan penuh berkaitan insiden itu, manakala CAAM akan turut membantu BSKU dari segi teknikal," katanya.
Katanya, arahan untuk mengumpul maklumat mengenai pesawat Beechcraft baru diberikan semalam dan pihaknya yakin akan mempunyai butiran terperinci dalam masa terdekat.
Terdahulu Kementerian Pengangkutan akan meminta CAAM untuk menjalankan siasatan terhadap semua pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang digunakan di Malaysia.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dipetik berkata, pada masa ini pihaknya tidak mahu membuat sebarang keputusan terburu-buru mengenai penangguhan operasi model pesawat itu.
Dalam kejadian Khamis lalu, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas dan mengakibatkan 10 maut termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Lapan yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat itu, manakala dua lagi orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu e-hailing.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... aft-390-di-malaysia |
|