|
Shahrul Izuan bersama anggota APM menunggu ketibaan jenazah di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Bandar Baru Salak TinggiBBST. Foto Samadi Ahmad
Sepang: Ahli keluarga pemandu e-hailing, Sharipuddin Shaari, 53, yang terkorban dalam tragedi Elmina, Shah Alam sudah mula berkumpul di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) di sini bagi menanti kedatangan jenazah dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Kelang.
Anak sulong Allahyarham, Sahrul Izuan, 16, berkata ibunya, Suriana Muda, 43, bertolak ke hospital pada jam 6.30 pagi bersama anak saudara untuk menuntut jenazah.
Menurutnya, jenazah akan terus dibawa ke masjid untuk disembahyangkan dan dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan masjid.
"Kami bersyukur kerana jenazah dapat dikeluarkan awal sehari seperti yang dimaklumkan sebelum ini selepas beberapa hari menunggu untuk proses dokumentasi dilakukan pihak bertanggungjawab.
"Kami sekeluarga reda dan menerima ketentuan Allah SWT serta menganggap pemergian ayah mempunyai hikmah tersendiri," katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu beberapa anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sepang turut hadir di perkarangan masjid untuk majlis pengebumian arwah.
Pegawai APM Sepang, Leftenan (PA) Faizal Mohd Sharif, berkata pihaknya diarahkan APM Selangor untuk membantu pengebumian arwah sekiranya diperlukan.
Katanya, arwah sebelum ini anggota APM Kedah dan aktif bertugas di Pusat Kuarantin Covid-19 Hotel Seri Malaysia di Alor Setar.
"Seramai lapan anggota ditempatkan di masjid ini dan APM akan membantu mana yang perlu sehingga ke tanah perkuburan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... a-hikmah-tersendiri |
|