|
Hussien Omar Khan
Klang: Polis mengakui berdepan kesukaran semasa menjalankan proses pengecaman 10 mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan bagaimanapun berkata, segala proses berkenaan berjaya diselesaikan awal sehari berbanding jangkaan asal akan siap esok.
"(Proses pengecaman) memang sukar sebab itu kita ambil masa sehingga hari ketiga.
"Kejadian berlaku hari Khamis, tiga hari kita hendak proses tempat kejadian sebab 'the nature of disaster' itu sedemikian rupa.
"Kedua, kita perlu guna kaedah ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang mengambil masa. Walaupun begitu, saya dapati semua proses dipermudahkan. Inilah yang paling cepat.
"Kita boleh lakukan yang mana kita dapat selesaikan sehari awal, kita jangka Isnin.
"Alhamdulillah, nampaknya urusan dipermudahkan, kita selesai tengah malam semalam. Pada pagi ini kita boleh serahkan jenazah kepada waris," katanya dalam sidang media di perkarangan Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, hari ini.
Hussein berkata, proses pengecaman menggunakan kaedah cap jari, DNA dan odontologi (pengecaman identiti melalui gigi).
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua petugas HTAR, Jabatan Kimia Malaysia, Pasukan Odontologi Hospital Kuala Lumpur, Jabatan Agama Islam Selangor dan lain-lain agensi terlibat bermula proses di tempat kejadian sehingga selesai.
"Di kesempatan ini, kami semua petugas merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan waris semua mangsa yang terbabit dalam nahas itu," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... an-siap-sehari-awal |
|