CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1661|Reply: 0

[Perak] 'Laporan polis bukan sesuatu yang main-main untuk tengok suami menyesal atau tidak'

[Copy link]
Post time 22-8-2023 01:28 PM | Show all posts |Read mode

GANESAN dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas pertuduhan melakukan jenayah ugutan terhadap isterinya.

Ipoh: "Saya ingatkan kamu, laporan polis bukan sesuatu yang main-main untuk sengaja mengugut tertuduh, untuk tengok dia (tertuduh) ikut cakap atau tidak. Polis bukan tempat untuk kamu suka-suka hati (hanya) nak tengok dia (tertuduh) menyesal atau tidak, kerana ugutan tetap jenayah".

Demikian teguran Majistret Jesseca Daimis terhadap seorang wanita yang menyatakan mahu menarik laporan ketika suaminya, G Ganesan, 38, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadapnya, dua minggu lalu.

Ganesan bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan jenayah ugutan terhadap isterinya, S Premlata, 36.

Premlata berkata kepada mahkamah, antara faktor lain dia mahu menarik kembali laporan adalah kerana memikirkan nasib dua anak mereka yang masih kecil biarpun mengakui sebelum ini sudah banyak kali diugut oleh suaminya itu.

Berdasarkan pertuduhan ke atas Ganesan, dia didakwa membuat ugutan jenayah terhadap Premlata dengan niat hendak menyebabkan ketakutan terhadap wanita itu di sebuah rumah di Laluan Maju 9, Taman Idaman Chemor, Chemor, di sini, jam 7.30 malam 7 Ogos lalu.

Pertuduhan dibaca bagi kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Nabilah Norzam manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Izawani Ahmad Jalaludin.

Ketika memberi penyaksian di mahkamah, Premlata berkata, keputusan bagi menarik kembali kes itu dibuat semalam seterusnya mengakui dia membuat laporan polis atas dasar bagi memberi keinsafan buat suaminya selepas sudah banyak kali melakukan ugutan serupa sebelum ini.

"Saya hendak tarik balik kes sebab anak. Kalau dia buat lagi macam ini, (mahkamah) berilah dia hukuman. Memang sudah berlaku banyak kali (ugutan) namun ini kali pertama dia kena tuduh di mahkamah," katanya.

Nor Izawani dalam pada itu memohon mahkamah mengenakan jumlah ikat jamin minimum atas dasar tertuduh tidak bekerja susulan impak kemalangan yang dialaminya dan kini kehidupannya ditanggung oleh Premlata yang mana mereka turut mempunyai dua anak masing-masing berusia empat dan tujuh tahun.

Mahkamah menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dari kalangan ahli keluarga selain daripada Premlata dan menetapkan tarikh 19 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... suami-menyesal-atau
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-1-2025 09:26 PM GMT+8 , Processed in 0.052935 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list