|
TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan buaya di dalam parit di kampung di Tanjong Karang.
Tanjong Karang: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor mengesahkan kemunculan seekor buaya di Jalan Mutiara, Kampung Parit Serong di sini, semalam.
Pengarah Perhilitan Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, haiwan dianggarkan sepanjang 1.8 meter itu ditemukan penduduk kampung di dalam parit itu, 5.30 petang.
Beliau berkata, pihaknya mengesan reptilia itu selepas video mengenainya tular di Facebook.
"Berpandukan video terbabit, sepasukan anggota bergegas ke lokasi dan bertemu dengan penduduk.
"Menurut penduduk, dia melihat kelibat seekor buaya di dalam parit tepi jalan kampung itu pagi semalam dan cuba menangkapnya, namun gagal.
"Buaya itu masuk semula ke dasar parit dan menghilangkan diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ten berkata, pihaknya kemudian menjalankan pemantauan di lokasi kejadian dan hasil siasatan mendapati, tidak kelihatan kelibat haiwan berkenaan.
"Anggota juga menjalankan rondaan di kawasan sekitar tetapi buaya tersebut tidak dijumpai.
"Sehubungan itu, penduduk dinasihatkan supaya terus menghubungi kami sekiranya ia muncul semula," katanya.
Beliau berkata, pada masa sama, pemantauan dilakukan di kawasan berkenaan.
Terdahulu, tular di Facebook, video memaparkan penduduk melihat kelibat seekor buaya di dalam parit di Tanjong Karang.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... am-parit-tepi-jalan |
|