|
Dua Minggu Hilang, Lily Di Temui Lemah, Tak Ingat Apa-Apa Di Ayer Hitam
07.09.2023 - Remaja perempuan Dinna Ismalaily Suhaidi, 15, atau Lily yang dilaporkan hilang sejak 25 Ogos lalu sudah dijumpai di perhentian bas Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor, jam 9.26 malam, hari ini. Kakaknya, Dialiesa Irdina, 18, yang berkongsi perkara itu kepada Harian Metro berkata, adiknya itu dijumpai oleh orang awam sebelum menghubungi keluarganya.
"Alhamdulillah, adik saya sudah dijumpai. Dia ditinggalkan seorang diri dalam keadaan lemah. Apabila ditanya, dia tak ingat apa-apa. Dia juga masih memakai pakaian yang sama seperti kali terakhir dilihat sebelum dilaporkan hilang. Apabila mak sampai dan cuba bercakap dengannya, dia menjadi takut," katanya.
Menurutnya, dia sekeluarga bersyukur kerana Lily akhirnya ditemui juga dalam keadaan selamat.
"Dapat saja panggilan dan gambar Lily, kami terus bergegas ke sana. Memang tak fikir apa dah. Syukur sangat. Buat masa sekarang keadaan mak saya sedikit lemah. Apa pun, terima kasih kepada semua pihak yang sudah membantu menghebahkan berita kehilangan adik saya. Hanya Allah yang dapat membalas jasa anda," katanya.
Menurutnya, Lily akan dibawa ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan lanjut sebelum dibawa pulang ke rumah. Terdahulu, Lily yang juga anak kelima daripada sembilan beradik, didakwa meninggalkan rumah mereka di Kampung Ilham di Kahang Timur, Kluang sejak 1.22 pagi, 25 Ogos lalu. Sejak itu, ibunya Norhayati Bakri, 45, aktif berkongsi maklumat mengenai anaknya di media sosial selain video TikTok dimuat naik kakak Lily yang mengundang pilu masyarakat. Video itu memaparkan kesungguhan Norhayati dan suami mencari Lily tanpa kenal erti penat lelah, malah sanggup berulang-alik dari satu bandar ke bandar untuk mengesan remaja itu.
Berita asal https://www.hmetro.com.my/mutakhir/...ditemui-lemah-tak-ingat-apa-apa-di-ayer-hitam
|
|