View: 1500|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Laluan kontra diaktifkan susulan permukaan jalan rekah di LPT1 arah KL
[Copy link]
|
|
LALUAN di LPT1.
Kuala Lumpur: Tinjauan di lokasi tambakan Projek Tebatan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) mendapati terdapat rekahan di permukaan jalan antara KM118.2 ke KM117.8 arah barat (arah Kuala Lumpur) membabitkan lorong kecemasan dan sebahagian lorong perlahan.
Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Sazali Harun dalam kenyataan hari ini berkata tinjauan tapak yang turut disertai oleh Pengarah dan jurutera dari Pejabat Wilayah Timur LLM itu dilakukan ekoran makluman daripada syarikat pengendali LPT1 ANIH Berhad.
"Pemerhatian awal punca berlakunya mendapan tersebut adalah disebabkan daripada runtuhan cerun tambak (fill slope) di kawasan kerja-kerja tebatan banjir. Pihak syarikat konsesi juga memaklumkan hujan lebat telah berlaku sejak tiga hari kebelakangan ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya dan kelancaran aliran trafik, pihak LLM dan ANIH Berhad telah menutup keseluruhan lorong arah barat dan mengaktifkan laluan kontra (contra flow) sejak 4.15 petang semalam.
Sazali berkata sebagai langkah jangka pendek, syarikat konsesi telah mengarahkan pihak kontrakor untuk menutup kawasan rekahan dengan kanvas bagi mengawal hakisan.
Penanda enapan (settlement marker) akan dipasang bagi memantau pergerakan tanah dan aktiviti penyiasatan tanah (soil investigation) secara komprehensif juga dilaksanakan segera.
Katanya Pejabat Wilayah Timur LLM, syarikat konsesi, perunding dan kontraktor juga telah diarahkan untuk berada di tapak selama 24 jam bagi memantau keadaan.
"Laporan awalan berhubung kejadian ini telah dikemukakan kepada Menteri Kerja Raya (Datuk Seri Alexander Nanta Linggi) dan laporan penuh sedang disediakan," katanya.
Beliau berkata walaupun laluan LPT1 terbabit masih boleh dilalui oleh semua kenderaan, namun pengguna diminta berhati-hati serta mematuhi papan tanda lalu lintas dan sekiranya tiada keperluan mendesak, elak daripada menggunakan laluan berkenaan bagi mengelakkan kesesakan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... kah-di-lpt1-arah-kl |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|