|
BEKALAN gula kasar bersubsidi sekilogram sukar diperoleh di kedai-kedai runcit di sekitar Johor Bahru, manakala pasar raya pula menetapkan had pembelian.
JOHOR BAHRU: Bekalan gula pada harga RM2.85 sekilogram semakin sukar diperoleh di bandar raya ini sejak beberapa hari lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kawasan termasuk di Taman Mount Austin, Taman Suria, Taman Sentosa, Kempas dan Bandar Dato’ Onn mendapati bekalan itu sukar diperoleh, khususnya di kedai-kedai runcit, manakala di beberapa pasar raya, setiap pembeli hanya dibenarkan membeli dua peket gula satu kilogram.
Seorang pengguna, Radiah Saori, 43, memberitahu, bekalan itu semakin sukar diperoleh sejak beberapa hari lalu.
“Beberapa hari ini memang sukar dapatkan bekalan gula. Jika ada sekalipun, ia melibatkan gula halus atau gula putih premium yang dijual pada harga lebih tinggi.
“Apabila harga bahan-bahan asas itu meningkat, ia sedikit sebanyak turut meningkatkan kos sara hidup kami sekeluarga. Selain itu, saya juga terpaksa pergi ke beberapa lokasi berlainan untuk mendapatkan bekalan gula, itupun dihadkan pembelian,” katanya yang merupakan ibu kepada tiga orang anak.
Justeru, Radiah yang merupakan seorang pekerja swasta berharap pihak berkuasa dapat memantau bekalan gula kasar yang sememang merupakan keperluan asas bagi rakyat.
Bagaimanapun, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Johor, Lilis Saslinda Pornomo memaklumkan, pihaknya tidak menerima sebarang aduan tentang kekurangan bekalan gula kasar bersubsidi di negeri ini.
“Setakat ini, kita tidak terima aduan ketiadaan bekalan gula. Di Johor tiada isu, sebaliknya dalam makluman kita bekalan gula sentiasa ada.
“Walau bagaimanapun, jika pengguna mendapati ada gangguan bekalan di kawasan mereka, boleh salurkan aduan kepada kami untuk tindakan susulan diambil,” katasnya.
Orang ramai boleh menyalurkan aduan menerusi talian 1800-88-6800, aplikasi WhatsApp 019-2794317 atau berkunjung ke mana-mana pejabat berhampiran di seluruh negeri.-UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... bekalan-gula-kasar/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|