CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4641|Reply: 0

[Wilayah Persekutuan] Halang warga asing beli beras tempatan, cadangan tak wajar

[Copy link]
Post time 20-9-2023 04:58 PM | Show all posts |Read mode

GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Gesaan beberapa pemimpin politik supaya pembelian beras tempatan dihadkan hanya kepada rakyat Malaysia dianggap tidak masuk akal dengan langkah sedemikian dibimbangi mencetuskan huru-hara di negara ini.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) Dato Seri Dr Jacob George, berkata cadangan itu bukan sahaja tidak berperikemanusiaan kepada warga asing yang menetap di sini, malah ia tindakan jangka pendek yang hanya akan menyusahkan kerajaan.

"Pertama, perlu tahu kenapa negara sedang berada dalam keadaan begini. Ini akibat daripada bertahun-tahun kita tak jaga sekuriti makanan, isu ini sudah lama ditinggalkan. Kedua, kita beri tanggungjawab ini kepada kroni atau orang yang memegang monopoli tertentu.

"Jadi bila timbul masalah terutama sekatan tertentu dari negara pengeksport beras, terdedahlah dengan sendiri masalah yang kita sedang hadapi dan keluarlah cadangan tak masuk akal seperti sekat warga asing daripada beli beras tempatan," katanya kepada BH hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, baru-baru ini bahawa kerajaan tidak bercadang melarang penjualan beras putih tempatan kepada warga asing yang berada di negara ini.

Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal mengutarakan cadangan berkenaan susulan kenaikan harga bahan mentah itu.

Mengulas lanjut, Jacob berkata, cadangan sedemikian hanya menunjukkan kecetekan pemikiran dalam kalangan pemimpin politik yang kononnya ingin mengutamakan rakyat tempatan.

"Masyarakat pengguna kita sudah semakin bijak, mereka tahu perkara yang betul atau fitnah, dan menteri mana buat kerja dan sebaliknya.

"Kalau kita buat sekatan kepada warga asing untuk beli beras tempatan, tentu ia akan menimbulkan huru-hara dalam negara, terutama dalam kalangan warga Bangladesh dan Indonesia yang paling ramai bekerja di sini. Ini bukan cara Malaysia yang menekankan perikemanusiaan.

"Mereka (pekerja asing) ini kebanyakannya datang untuk bekerja termasuk menjaga negara kita, mereka tak datang sebagai pelarian, jadi memang sepatutnya ada timbang rasa dalam soal pembelian barangan termasuk beras," katanya.

Jacob turut melihat isu padi dan beras negara sepatutnya diselesaikan di peringkat paling asas iaitu melalui perbincangan dengan pihak yang terbabit dalam ekosistem makanan itu.

Katanya, kerajaan perlu berkomunikasi dengan petani yang mengusahakan tanaman padi, meneliti masalah dihadapi mereka dan menyediakan pendanaan yang mencukupi supaya pengeluaran padi dapat ditingkatkan secara berperingkat.

Selain itu, katanya, kerajaan perlu mengadakan libat urus dengan pemegang taruh lain termasuk persatuan pengguna dan tidak meminggirkan cadangan bernas untuk menambah baik dasar pengeluaran padi dan beras sedia ada.

Sementara itu, Profesor di Putra Business School, Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin, turut bersetuju bahawa cadangan berkenaan tidak wajar, malah tegasnya, ia hanya akan 'menambah beban' kepada kerajaan, terutama dari segi kawal selia yang tentunya perlu diperketatkan.

"Kita kena menangani root cause (punca sebenar) kepada isu sekarang. Isunya adalah dasar dan struktur pasaran padi dan beras negara.

"Bukan membincangkan atau berdebat sama ada warga asing dibenarkan membeli beras tempatan. Jika kerajaan tidak membenarkan warga asing membeli beras tempatan, siapa yang hendak mengawal selia dan berapakah kos untuk mengawal pembelian itu?" katanya ketika dihubungi BH hari ini.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -cadangan-tak-wajar
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-1-2025 07:57 AM GMT+8 , Processed in 0.043748 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list