View: 3048|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Lori rempuh 14 kenderaan: Operasi penguatkuasaan kenderaan berat dipertingkatkan
[Copy link]
|
|
ALLAUDEEN pada sidang media Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur di hadapan bangunan KLCC. FOTO Nabila Adlina Azahari
Kuala Lumpur: Operasi penguatkuasaan terhadap kenderaan berat dan komersial akan dipertingkatkan di sekitar ibu negara untuk menjamin keselamatan orang ramai.
Ia susulan kemalangan maut membabitkan sebuah lori merempuh 14 kenderaan lain dan membunuh dua penunggang motosikal selepas pemandunya mengaku tidak sempat memberhentikan kenderaan di Persiaran Utara, Putrajaya semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, operasi penguatkuasaan akan ditumpukan di laluan keluar dan masuk ke ibu negara serta Putrajaya.
"Mulai hari ini kita tingkatkan operasi ke atas kenderaan berat dan komersial khususnya disamping operasi harian yang memang sudah dijalankan.
"Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
"Operasi akan dipertingkatkan di laluan masuk kerana kemalangan semalam contohnya berlaku di laluan masuk dari Puchong, Selangor," katanya pada sidang media Op Hormat Undang-undang (HUU) Jalan Raya Polis Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Semalam Harian Metro melaporkan dua penunggang motosikal maut manakala tujuh cedera dalam kemalangan membabitkan lori merempuh 14 kenderaan termasuk motosikal anggota trafik di Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong.
Sebelum kejadian anggota trafik memberhentikan kenderaan di lokasi sebahagian daripada latihan pengalihan trafik sebagai persiapan awal acara berbasikal antarabangsa Le Tour de Langkawi (LTdL).
Pemandu lori satu tan yang membawa muatan batu berusia 25 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mengulas lanjut Allaudeen menyifatkan kemalangan itu sebagai tragedi malang kerana aliran trafik ketika itu tenang dan anggota polis bertugas memberhentikan trafik mengikut segala prosedur ditetapkan.
"Saya suka ingatkan kepada semua pemandu perlu bertanggungjawab di atas jalan raya dan sentiasa tumpukan perhatian.
"Ini kerana kalau ada sebahagian yang mengambil ringan (undang-undang) dengan bercakap di telefon semasa memandu dan sebagainya boleh akibatkan kemalangan.
"Malah penggunaan aplikasi navigasi pada telefon pintar boleh mengakibatkan kemalangan kerana dalam keadaan itu (melihat telefon) tindak balas kita menjadi lambat," katanya.
Sehubungan itu beliau mengingatkan pemilik dan pemandu kenderaan berat serta komersial supaya memastikan kenderaan masing-masing berada dalam keadaan sesuai untuk dipandu di jalan raya.
Mengulas berkenaan perkembangan siasatan, Allaudeen berkata, permohonan reman ke atas pemandu itu akan dibuat di Mahkamah hari ini bagi melengkapkan siasatan.
Katanya, siasatan terperinci akan dijalankan bagi menentukan sama ada berlaku kerosakan teknikal atau kecuaian daripada pihak pemandu.
"Dari segi teknikal kita perlu tunggu laporan JPJ dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Bermotor (Puspakom), tapi kita percaya mungkin ada kecuaian pemandu.
"Apa pun kita perlu pastikan siasatan terperinci dijalankan sebelum dapat membuat kesimpulan mengenai punca sebenar kejadian," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... aan-kenderaan-berat |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|