|
KENDERAAN yang digunakan warga asing ditahan dalam Ops Pewa di Jalan Tasek Tambahan, di sini, hari ini. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor.
Ampang Jaya: Beli dan sewa kenderaan daripada warga tempatan. Itu dilakukan kumpulan warga asing yang memandu dan menunggang kenderaan tanpa dokumen lengkap.
Dengan harga serendah RM1,500 mereka mampu mendapatkan sebuah motosikal untuk kegunaan harian.
Bagaimanapun, kegiatan warga asing itu mengundang pada apabila ditahan dalam operasi pemandu warga asing (Ops Pewa) yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Tasek Tambahan, hari ini.
Operasi bermula pada jam 10 pagi itu berjaya menyita 68 kenderaan yang yang dipandu dan ditunggang warga asing.
Timbalan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Erick Jusiang berkata, daripada jumlah itu 64 adalah motosikal, dua motolori dan dua motokar.
"Sebanyak 564 kenderaan diperiksa dan 149 diambil tindakan serta 280 notis saman dikeluarkan.
"Bagi yang tidak memiliki lesen memandu dan Lesen Kenderaan Barangan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 26(1) (Lesen-lesen memandu) dan Seksyen 57 (Lesen Vokasional bagi kenderaan barangan dan kenderaan pekerja) Akta Pengangkutan Jalan 1987, "katanya pada sidang media, di sini, hari ini,
Erick berkata, pihaknya turut menahan 49 individu dari Bangladesh, Myanmar, India, Myanmar, Pakistan dan Indonesia atas pelbagai kesalahan imigresen.
"Semua mereka berusia 20 hingga 50 tahun akan dibawa ke pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.
"Semua kenderaan yang disita dibawa ke JPJ Wangsa Maju bagi tujuan pemeriksaan, "katanya.
Menurutnya, warga asing ini dipercayai membeli dan menyewa kenderaan dari warga tempatan.
"Saya ingin memberi amaran kepada warga tempatan supaya tidak menyewakan kenderaan mereka kepada warga asing kerana mereka juga boleh diambil tindakan, "katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -warga-asing-disita |
|