|
SPWinds mengharumkan nama Malaysia selepas membolot tiga anugerah di Barcelona, Sepanyol, baru-baru ini. FOTO ihsan Shahriyah Abdul Rashid
Kuala Lumpur: Pengorbanan berlatih siang dan malam setiap hari berbaloi, apabila Pasukan Simfonik Wind (SPWinds) Sekolah Seri Puteri merangkul tiga anugerah dalam Pertandingan Golden Sardana dan Festival Orkestra Antarabangsa di Barcelona, Sepanyol, baru-baru ini.
Guru muzik yang juga penasihat pasukan itu, Shahriyah Abdul Rashid berkata, kemenangan membolot tiga anugerah sekali gus itu tidak dijangka berikutan persaingan sengit membabitkan lapan pasukan dari empat negara.
"Kalau tengok kualiti persembahan, saya cuma jangka boleh dapat kedudukan baik dengan anggaran 90 markah ke atas tapi tak sangka pula mereka rangkul tiga anugerah sekali gus dengan markah 96 peratus.
"Selalunya, penganjur beri satu hadiah saja, tapi Alhamdulillah persembahan mereka kali ini berjaya menarik hati juri dan penganjur juga tertarik memberikan dua anugerah khas," katanya kepada Harian Metro.
Katanya, kejayaan itu didedikasikan kepada semua pihak yang menyokong perjalanan SPWinds termasuk guru, ibu bapa dan semua penaja.
"Selain sibuk dengan persiapan latihan, kami juga menganjurkan makan malam dan konsert amal bagi mencari dana untuk membantu membiayai perbelanjaan anak-anak ini ke Barcelona dengan sebahagiannya ditampung ibu bapa.
"Kami berterima kasih kepada semua pihak terutama ibu bapa dan rakan penaja daripada syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana menyokong usaha murni ini," katanya.
Beliau berkata, kejayaan itu akan terus menjadi pendorong SPWinds untuk mengekalkan prestasi cemerlang pada masa akan datang termasuk melatih pelapis baharu.
"SPWinds adalah kebitaraan Sekolah Seri Puteri kerana sejak penubuhannya pada 1976, pasukan ini merangkul pelbagai kemenangan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
"SPWinds mengharumkan nama negara menerusi 10 penyertaan pertandingan bukan saja di Sepanyol kali ini, malah di Australia, Austria, New York, Amsterdam dan Singapura sebelum ini.
"Insya-Allah kita akan cuba kekalkan pencapaian ini setiap tahun dan melatih pelapis bagi memastikan SPWinds terus mengharumkan nama Malaysia di mata dunia," katanya.
Sementara itu, Presiden SPWinds, Dayang Syifa' Abang Mohamad Subhi, 17, menganggap kemenangan itu hadiah pengorbanan pasukannya merangkumi 67 pelajar tingkatan dua hingga lima yang bertungkus lumus berlatih sejak April lalu.
"Ini hadiah kerja keras pasukan ini yang berlatih dua jam setiap petang pada hari biasa dan lebih enam jam pada Sabtu dan Ahad sejak April lalu.
"Memang penat, kami perlu membahagikan masa antara waktu belajar dan berlatih, namun Alhamdulillah semua ini sangat berbaloi dengan kemenangan berganda ini.
"Semestinya pendorong semangat kami adalah jurulatih kami, Raja Muzaffar Shah Raja Abdullah yang banyak memberi tunjuk ajar serta ibu bapa dan guru yang tidak jemu menjadi tulang belakang kami selama ini," katanya.
Pada pertandingan yang berlangsung 12 hingga 16 September lalu, SPWinds mengharumkan nama Malaysia dengan merangkul hadiah utama, Anugerah Excellent Golden Diploma selain dua anugerah khas, Special Prize Extraordinary Artistic Impression dan Golden Sardana.
Pasukan itu mempertaruhkan tiga lagu Wind of Provence, Tanah Pusaka dan Barbaresque.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ugerah-di-barcelona |
|