|
MOHAMAD memeriksa perbarisan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki 197/23 dan Wanita Siri 48/23 yang berlangsung di Padang Kawad, Pusasda, Port Dickson hari ini. Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN/ KOSMO!
PORT DICKSON – Kementerian Pertahanan menyeru lebih ramai golongan bukan bumiputera untuk menyertai bidang ketenteraan selepas tidak sampai tiga peratus daripada kumpulan tersebut berada dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, anak-anak bukan bumiputera perlu tampil menyertai perkhidmatan tersebut malah gaji bagi kerjaya seorang tentera juga kini lebih baik berbanding dahulu.
“Jika boleh kami mahu lebih 10 peratus atau lebih banyak lagi, tiga peratus kadar yang amat rendah.
“Penyertaan kaum bukan bumiputera masih rendah walaupun pelbagai usaha yang telah dilakukan termasuk kita buat siri jelajah, mengadakan pelbagai promosi untuk menggalakkan anak-anak dalam negara ini menyertai perkhidmatan anggota tentera namun penyertaan masih kurang membanggakan daripada kaum bukan bumiputera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki 197/23 dan Wanita Siri 48/23 yang berlangsung di Padang Kawad, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini hari ini.
Seramai 1,013 orang perajurit muda yang terdiri daripada 661 orang lelaki dan 352 wanita berjaya menamatkan latihan bagi pengambilan pada kali ini.
Perbarisan tersebut diketuai oleh Perajurit Muda, Faddry Izhan Norhan, 21, yang berasal dari Keningau, Sabah yang turut dianugerahkan sebagai Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik Lelaki manakala Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik Wanita dianugerahkan kepada Perajurit Muda, Nur Faraain Md., 21, dari Bentong, Pahang.
Kali ini, seramai 28 orang perajurit muda mempunyai kelulusan diploma, 10 orang berkelulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), 31 berkelulusan Sijil Vokasional Malaysia, 118 Sijil Kemahiran Malaysia manakala 854 perajurit muda berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sementara itu, Mohamad menjelaskan penyertaan graduan diploma yang memilih tentera sebagai laluan kerjaya merupakan satu perkembangan yang baik. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2023/09 ... era-sertai-tentera/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|