View: 591|Reply: 0
|
[Perak]
Tinggalkan kerjaya sebagai doktor kerana bipolar, kini pembuat kek
[Copy link]
|
|
NAQIUDDIN menjadi pembuat kek sejak berhenti sebagai doktor akibat gangguan bipolar. FOTO ihsan Naqiuddin Rozman
Ipoh: Akibat menghidap gangguan bipolar, Naqiuddin Rozman terpaksa meletak jawatan sebagai doktor selepas dinasihatkan berbuat demikian oleh pihak pengurusan.
Meskipun sedih kerana terpaksa meninggalkan kerjaya impiannya, Naqiuddin, 31, yang kini menetap di Taman Sri Ampang, di sini tidak menganggap episod duka itu sebagai pengakhiran hidupnya.
Sebaliknya, anak sulung daripada empat beradik itu membuka lembaran baru dalam hidupnya dengan menjadi pembuat kek perkahwinan selepas meninggalkan bidang perubatan.
Berkongsi kisahnya, Naqiuddin berkata, minat membuat kek ada sejak 2012 iaitu ketika menuntut di universiti lagi cuma ketika itu hanya dalam kuantiti kecil dan untuk rakan terdekat saja.
Bermula 2019, Naqiuddin mula mengambil tempahan membuat kek kahwin yang sudah menjadi sumber pendapatan utamanya.
"Saya hanya sempat berkhidmat sebagai doktor selama dua tahun saja dan berhenti kerana gangguan bipolar kronik selepas disahkan ada penyakit itu pada 2018.
"Berhenti itu bukan pilihan saya tetapi kerana dinasihatkan pihak atasan.
"Jujurnya sedih kerana seronok jadi doktor malah keluarga juga macam sukar nak terima pada awalnya.
"Tapi apakan daya, rezeki jadi doktor sampai di situ saja dan tak lama selepas berhenti, saya terus mula buat kek serta ambil tempahan kerana itu juga minat saya sejak dulu lagi," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menceritakan pengalamannya, graduan Ijazah Sarjana Perubatan Universiti Kajian Perubatan Privolzhsky dekat Nizhny Novgorod, Russia itu berkata, dia mengambil masa selama dua tahun untuk mengasah kemahiran membuat kek dengan belajar sendiri dan mengikuti kelas.
Kini, dia terus mengasah kemahiran dan bersyukur kerana hasil kerjanya mendapat sambutan serta kepercayaan daripada pelanggan.
"Tak mudah sebenarnya jadi pembuat kek ini kerana perlukan ketelitian dan cabaran paling besar adalah cari pelanggan serta jualan.
"Alhamdulillah, ramai juga yang sudi tempah dengan saya termasuk kerabat diraja Perak cuma buat masa memang ambil tempahan kek kahwin saja.
"Harga serendah RM380 untuk kek setingkat, RM680 bagi dua tingkat dan RM1,500 bagi tiga tingkat namun itu anggaran saja kerana bergantung juga kepada hiasan serta gubahan diinginkan pelanggan," katanya yang turut membuka kelas bagi mengajar individu berminat mempelajari cara pembuatan kek.
Berhubung perkongsian di TikTok, Naqiuddin berkata, video dimuat naiknya adalah perkongsian lama yang sekadar untuk berkongsi perjalanannya dulu dan kini.
"Tak sangka pula video dimuat naik semula itu raih perhatian netizen namun ramai beri kata semangat.
"Tapi ada juga komen negatif dengan mengatakan saya buang duit kerajaan kerana tidak terus berkhidmat sebagai doktor.
"Saya tak hiraukan pun kecaman kerana mahu fikir positif saja dan untuk pesakit bipolar di luar sana, jangan jadikan penyakit sebagai alasan untuk bekerja serta terus berkarya.
"Jadikan minat dan kembangkan untuk jana pendapatan serta memberi manfaat kepada orang lain," katanya yang menyiapkan tempahan pelanggan di rumah.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ar-kini-pembuat-kek |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|