CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5320|Reply: 0

[Selangor] Wang pusaka hampir RM1 juta 'lebur' kerana skim pelaburan

[Copy link]
Post time 24-9-2023 05:36 PM | Show all posts |Read mode

TAN ketika sidang media mengenai kes penipuan pelaburan di Pejabat MPAJ Jalan Bunga Tanjung. FOTO Eizairi Shamsudin

Ampang Jaya: Hasrat seorang eksekutif jualan untuk mendapatkan pendapatan stabil bermodalkan wang pusaka peninggalan bapanya lebur selepas dipercayai ditipu apabila menyertai skim pelaburan ladang kelapa sawit.

Tambah memeritkan apabila bukan hanya dia tetapi adik lelaki serta ibu turut menyertai pelaburan itu menggunakan modal wang pusaka peninggalan bapa dengan keseluruhan kerugian dialami mereka dianggarkan hampir RM1 juta.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 42, berkata, dia menyertai pelaburan itu selepas diperkenalkan rakan mendiang bapanya pada 2014.

"Saya melabur sebanyak RM280,000, manakala adik lelaki saya juga melabur kira-kira RM200,000 pada Ogos 2014 menggunakan wang pusaka peninggalan mendiang bapa.

"Kami tertarik untuk melabur kerana dijanjikan pulangan lapan peratus setahun. Ketika itu (pada 2014), saya mengalami kesulitan kewangan yang menyebabkan saya perlu 'pendapatan' stabil pada jangka masa panjang.

"Malah, saya juga dimaklumkan bahawa syarikat itu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan banyak promosi mengenai pelaburan ini di akhbar tempatan selain diuar-uarkan oleh golongan VVIP menyebabkan saya tertarik untuk menyertainya," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Pejabat Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Yew Jia Haur, di sini, hari ini.

Tan berkata, pada mulanya, dia mendapat lapan peratus pulangan setahun yang dijanjikan menyebabkan ibunya juga mahu menyertai pelaburan itu dengan modal sebanyak RM400,000 pada awal 2021.

"Namun selepas lapan tahun tempoh pelaburan saya matang pada Ogos 2021, syarikat memberi pelbagai alasan apabila diminta memulangkan modal serta pulangan dijanjikan.

"Nasib ibu saya lebih teruk apabila tidak mendapat pulangan lapan peratus setahun itu hanya selepas dua tahun menyertai pelaburan," katanya.

Katanya, dia terkilan apabila syarikat itu bercadang mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) di Sabah pada 27 September nanti bagi membincangkan penukaran modal pelaburan kepada pemilikan saham syarikat.

"Baru-baru ini, kami mendapat surat daripada syarikat itu menyatakan mereka mahu menukar modal pelaburan kepada pemilikan saham dan cadangan itu akan dibawa dalam AGM nanti.

"Saya tidak mahu pemilikan saham syarikat kerana mereka sendiri mengaku tiada wang, jadi apa keuntungan kepada kami untuk menjadi rakan kongsi?

"Kami rasa seperti dipaksa untuk menukar wang modal pelaburan kepada pemilikan apabila AGM bakal berlangsung untuk mengundi cadangan diadakan di Sabah sedangkan kebanyakan pelabur di Semenanjung.

"Jadi saya mahu syarikat pulangkan semula modal serta pulangan yang dijanjikan kerana ia adalah harta pusaka peninggalan bapa dan perkara itu yang menyentuh hati saya," katanya.

Sementara itu, Jia Haur berkata, difahamkan terdapat lebih 8,000 pelabur menyertai pelaburan syarikat berpangkalan di Sabah itu dengan jumlah modal kira-kira RM600 juta.

"Jumlah pelabur dan modal pelaburan itu diperoleh daripada ejen syarikat.

"Difahamkan kebanyakan pelabur adalah dalam kalangan peniaga kecil dan pesara yang buta huruf, tidak boleh berbahasa Melayu serta Inggeris.

"Justeru itu, kami mahu pelabur yang turut terpedaya agar menghubungi kami di talian 017-4573854 supaya mereka dapat dikumpulkan untuk tindakan lanjut," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... rana-skim-pelaburan
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-1-2025 04:44 AM GMT+8 , Processed in 0.035604 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list