View: 2827|Reply: 0
|
[Melaka]
Tahun ini 3 kali sawah tenggelam
[Copy link]
|
|
KEADAAN sawah di Kampung Paya Luboh dan Seberang Gajah yang ditenggelami air banjir bulan lalu.
Melaka: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu nasib kira-kira 50 pesawah di Kampung Paya Luboh dan Seberang Gajah, Tanjung Kling, dekat sini, yang terpaksa menanggung kerugian puluhan ribuan ringgit apabila sawah diusahakan hampir 100 hektar ditenggelami banjir setiap kali hujan lebat.
Difahamkan, tahun ini sahaja sudah tiga kali sawah mereka ditenggelami air bah dan paling teruk pertengahan bulan lalu berikutan padi sudah mula mengeluarkan hasil dan menunggu masa untuk dituai.
Sumber Pejabat Pertanian Daerah Melaka Tengah memaklumkan setakat ini 11 petani yang terjejas teruk sudah mengemukakan laporan hasil padi merosot dan kerugian antara RM5,000 ke RM6,000 membabitkan keseluruhan sawah seluas 24 hektar.
Menerusi tinjauan Harian Metro dan temu bual bersama petani, difahamkan masalah berlaku kerana limpahan air dari Sungai Udang tidak dapat mengalir keluar dengan baik berikutan sistem culvet sedia ada terlalu sempit.
Pemerhatian juga mendapati sampah sarap bertimbun menutup aliran air sungai menyebabkan air bertakung hingga melimpah ke sawah hingga menyebabkan pokok padi terendam dan rosak.
Pesawah mendakwa sudah memohon pembinaan jambatan kekal baharu itu sejak lebih 10 tahun lalu bagi mengatasi masalah itu, namun sehingga kini belum berhasil.
Pesawah, Mohd Sabri Yusof, 57, berkata, pembinaan jambatan baharu itu dilihat antara langkah terbaik untuk mengatasi limpahan air sungai yang merosakkan sawah.
"Longkang culvert (pembentung) di bawah jambatan sedia ada terlalu sempit, jadi limpahan air dari Sungai Udang dan kawasan sekitar tidak dapat mengalir keluar dengan baik dan hingga memasuki seluruh kawasan sawah.
"Jadi kami harap ia diganti dengan jambatan kekal dan dipasang dengan longkang culvert lebih besar supaya air dapat mengalir dengan lancar," katanya.
Beliau berkata, hasil padinya diusahakannya seluas lebih empat hektar merosot teruk musim ini dan hanya memperoleh kira-kira 12 tan berbanding 20 tan.
"Inilah cabaran, tinjauan jabatan pertanian sebelum ini pokok padi nampak cantik dan tidak terjejas teruk.
"Tapi pengalaman kami, bila pokok padi yang sedang berbuah terendam dalam air, buahnya akan bermasalah dan tak masuk isi dengan baik (kosong).
Seorang lagi pesawah, Suhaimi Mustafa, 64, juga berharap pembinaan jambatan itu diberi keutamaan oleh kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi penyelesaian jangka panjang.
"Sekarang ini cuaca tidak menentu, jika hujan satu atau dua jam tak berhenti di Sungai Udang, kawasan di sini mesti banjir.
"Kawasan Sungai Udang sudah banyak taman perumahan baharu dan air dari longkang serta parit disalurkan ke sini sebelum ke laut melalui Pulau Gadong atau Klebang.
"Cara terbaik untuk pastikan air tidak bertakung di sawah di sini adalah membina jambatan baharu dan memasang longkang culvert lebih besar supaya air dapat mengalir lancar," katanya.
Katanya, banjir pada 13 Ogos lalu menyebabkan hasil padi seluas lebih 24 hektar diusahakannya merosot lebih 50 peratus akibat banjir kali ini apabila hanya memperoleh kira-kira 15 tan berbanding 30 tan sebelum ini.
Nada sama diluahkan Azizan Abdul, 41, yang berharap rintihan petani dipandang serius oleh pihak berwajib apabila hasil padinya merosot lebih tiga tan pada musim ini.
"Bila padi sudah terendam kemungkinan jadi ringan dan kualitinya tidak macam padi yang tak kena banjir.
"Saya dapat padi lima tan sahaja sebab kilang tolak selepas ambil kira keadaan padi sama ada bersih atau kotor dan ringan atau hampa, berbanding musim lalu sebanyak tujuh tan.
"Kami harap jambatan baharu itu dibina supaya sistem saliran dan pengairan berfungsi dengan baik," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... ali-sawah-tenggelam |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|