View: 3691|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Akaun untuk 'disewa'
[Copy link]
|
|
SINDIKET turut menawarkan kadar pusing ganti yang tinggi iaitu sehingga RM50,000 sebulan bagi membolehkan pemilik akaun memohon pinjaman dengan pihak bank.
Tawar upah RM7k sebulan
Kuala Lumpur: Menawarkan bayaran sehingga RM7,000 sebulan kepada individu yang sanggup menyewakan akaun dan kad bank bagi kegunaan penipuan serta perjudian.
Itu yang dilakukan sindiket sewa akaun bank yang menyasarkan individu terdesak untuk mendapatkan wang dengan cara mudah dan cepat.
Malah, sindiket itu juga didapati mempromosikan iklan mereka secara rawak di aplikasi WhatsApp dan TikTok untuk mencari individu yang 'rela' direkrut sebagai keldai akaun.
Wartawan Harian Metro yang mendapat perkongsian iklan tawaran itu menerusi aplikasi WhatsApp mendapati harga sewaan ditawarkan sindiket terbabit bermula sebanyak RM3,000 sebulan untuk satu akaun.
Bayaran 'sewa' itu akan dibayar secara bulanan dan sindiket terbabit juga berjanji akan 'kautim' jika terdapat sebarang masalah dengan mana-mana pihak.
Sindiket turut menawarkan kadar pusing ganti yang tinggi iaitu sehingga RM50,000 sebulan bagi membolehkan pemilik akaun memohon pinjaman dengan pihak bank.
Iklan secara rawak itu mampu menarik individu yang terdesak untuk menggunakan wang.
Cubaan wartawan untuk menghubungi pihak yang memberi tawaran itu gagal selepas tidak menjawab pertanyaan lain yang diajukan wartawan.
Wartawan turut menemui seorang mangsa yang menyewakan akaun bank miliknya kepada sindiket sewaan akaun bank.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Farouk, 29, berkata dia menyewakan akaun dan kad bank kepada pihak terbabit selepas diperkenalkan oleh rakannya.
"Pada mulanya rakan saya bertanya berapa akaun bank yang saya miliki dan saya menjawab dua akaun, dari situ dia memberi cadangan supaya satu daripadanya disewakan.
"Saya kemudian menghubungi nombor yang diberikan rakan dan ditawarkan sebanyak RM3,000 sebulan bagi bayaran sewaan itu.
"Ketika itu tidak terlintas akaun berkenaan akan digunakan untuk kegiatan penipuan dan perjudian.
"Kad bank saya serahkan kepada sindiket berkenaan menerusi perkhidmatan p-hailing ke alamat yang diminta," katanya ketika ditemui.
Menurutnya, hanya pada bulan pertama dia mendapat bayaran daripada sindiket terbabit yang membuat pindahan bayaran ke satu lagi akaun bank miliknya.
"Bayaran bulan kedua dan ketiga saya tidak terima, dua minggu kemudian saya dihubungi polis untuk diambil keterangan berkaitan kegiatan penipuan.
"Saya kemudian ditahan pihak berkuasa dan didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan sebelum dijatuhi hukuman denda sebanyak RM4,000 oleh mahkamah.
"Kini, seseorang boleh menjadi 'penjenayah' hanya kerana menyewakan akaun bank kepada orang tidak dikenali," katanya.
Waspada iklan minta sewa akaun bank
Orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada terhadap taktik licik sindiket penipuan yang secara terbuka memuat naik iklan menyewa akaun bank untuk kegiatan jenayah mereka.
Ini kerana golongan muda atau individu terdesak dikatakan sering terjerat dengan cara mudah mendapatkan wang tanpa menyedari mereka menjadi keldai akaun dan terbabit secara tidak langsung dengan aktiviti penipuan kewangan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ramai individu yang menjadi mangsa kerana tidak berfikir panjang mengenai tindakan yang diambil.
"Banyak yang menjadi mangsa kerana gagal berfikir akibat perbuatan mereka itu.
"Sebagai contoh, akaun bank adalah sesuatu yang sangat peribadi dan tidak seharusnya dipinjamkan kepada sesiapa untuk apa tujuan sekali pun," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak mengendahkan tawaran dan iklan yang dipromosikan sindiket bagi menjerat mangsa.
"Saya nasihatkan sesiapa sahaja yang terima tawaran sedemikian supaya tidak mengendahkannya kerana kata orang 'untung secupak rugi segantang'.
"Dalam sesetengah kes yang membabitkan seseorang ingin membuat pinjaman kononnya tanpa cagaran, diminta memberi nombor akaun dan kad bank mereka kepada ejen pemberi pinjaman itu.
"Akhirnya, bukan sahaja pinjaman diminta tidak dapat, tetapi akaun banknya juga digunakan untuk penipuan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... /akaun-untuk-disewa |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|