View: 3348|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Pakai pelitup muka N95, N99 untuk perlindungan diri ketika jerebu
[Copy link]
|
|
Gambar hiasan
Kuala Lumpur: Orang ramai dinasihatkan mengamalkan pemakaian pelitup muka yang direka khusus seperti respirator N95 dan N99 untuk perlindungan diri ketika jerebu.
Pensyarah Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat berkata, pelitup muka N95 dan N99 masing-masing berkesan menapis 95 peratus dan 99 peratus partikel halus bersaiz 0.3 mikron dalam udara seperti jerebu sekali gus mengurangkan risiko kesihatan terutama masalah pernafasan.
"Jika tidak boleh lari terpaksa keluar seperti bekerja dan sekolah pakailah pelitup muka yang terbaik seperti N95 dan N99 atau pelitup muka jenis biasa pun boleh dipakai secara dua lapis kerana kita menyedut udara kotor yang ada jerebu.
"Kesan menyedut udara berjerebu kepada individu biasa biasanya akan rasa sakit tekak, batuk atau selsema saja berbanding mereka yang ada masalah paru-paru seperti asma, perokok tegar, anak kecil atau warga emas kesannya lebih besar walaupun pendedahannya sedikit.
"Jadi, golongan berisiko ini perlu buat lebih pencegahan antaranya pakai pelitup muka dan peka dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan mereka hendak tuju," katanya mengulas pencegahan perlu dilakukan orang ramai ketika menghadapi jerebu.
Mengulas lanjut katanya, aktiviti luar terutama di kawasan bacaan IPU tinggi juga perlu dihadkan.
"Bagi saya kalau tiada keperluan, jangan keluar rumah atau hadkan pendedahan risiko terutama di kawasan bacaan IPU tinggi.
"Sebaiknya aktiviti luar misalnya di sekolah perlu dihadkan kerana tahap kesihatan setiap pelajar terutama murid tadika tidak sama walaupun IPU tidak capai 200.
"Bagi yang bekerja di kawasan IPU tinggi pula, bergantung kepada pihak majikan sama ada melaksanakan polisi bekerja dari rumah untuk tempoh masa singkat mahupun kaedah lain," katanya.
Setakat 2 petang ini, laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) merekodkan, dua kawasan daripada 68 stesen seluruh negara mencatatkan bacaan IPU tidak sihat.
Ia membabitkan Serian dan Sri Aman, Sarawak masing-masing merekodkan bacaan IPU sebanyak 104 dan 126 manakala 61 kawasan tahap sederhana antara 52 hingga 91 selain lima stesen lagi di tahap baik (20 hingga 49).
Pemantauan Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) untuk jerebu di rantau Asean petang semalam mengesan, 214 titik panas di Kalimantan dengan 36 di Sumatera, Indonesia.
ASMC menyifatkan, situasi titik panas dan jerebu di rantau ini pada tahun ini terburuk sejak 2019 disebabkan faktor pertembungan antara fenomena El Nino dan fasa positif Dipole Lautan Hindi (IOD) bermula bulan ini hingga November.
Keadaan ini dijangka membawa cuaca lebih kering serta peningkatan titik panas dan jerebu rentas sempadan di rantau ini terutama di kawasan terdedah kebakaran.
Namun, ASMC meramalkan, bermula penghujung bulan ini, peningkatan hujan melebihi paras normal serta perubahan angin berkemungkinan akan membantu memulihkan keadaan kawasan titik panas dan jerebu di rantau ini.
Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 termasuk dalam kategori paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -diri-ketika-jerebu |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|