View: 1290|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Pusing Malaysia kumpul dana bantu pesakit kanser
[Copy link]
|
|
Sarlinawati Abdul Mues memulakan kembara motosikal secara solo di Institut Kanser Negara (IKN), baru-baru ini. FOTO BERNAMA
Putrajaya: Walaupun disahkan menghidap kanser payudara tahap empat pada Jun 2021, Sarlinawati Abdul Mues tidak patah semangat untuk melakukan kembara motosikal secara solo mengelilingi Semenanjung Malaysia bagi mengumpul dana untuk Projek Bra Prostesis dan Mastektomi anjuran Cancer Survivor Malaysia (CSM).
Sarlinawati, 47, atau nama panggilannya Nina akan ditemani skuter WM ES250i miliknya untuk kembara kira-kira 3,000 kilometer selama 24 hari itu yang bermula di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya pada 2 Oktober lalu dan bakal berakhir di Ipoh, Perak.
"Projek ini bertujuan membantu meringankan beban kira-kira 100 pesakit kanser payudara yang kurang berkemampuan untuk membeli alat silikon berbentuk payudara, yang dianggarkan bernilai RM2,000," katanya semasa majlis pelepasan Kembara Solo Cancer Fighter di IKN itu baru-baru ini.
Sarlinawati berkata, antara pengisian sepanjang kembara itu ialah menyantuni pesakit kanser yang sedang mendapat rawatan di fasiliti kesihatan serta kediaman mereka, selain menyampaikan ceramah motivasi kepada pesakit kanser menerusi beberapa sesi yang dirancang di negeri-negeri yang dilawati.
Ibu tunggal kepada anak perempuan berusia 27 tahun itu berkata antara lokasi kediaman pesakit yang akan disantuni ialah di Rompin dan Pekan, Pahang; Kemaman di Terengganu; Wakaf Bharu di Kelantan; dan fasiliti kesihatan seperti Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Hospital Sultanah Aminah di Johor, Pusat Rawatan KMC di Perak dan Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Berkongsi cetusan idea bagi melakukan kembara itu, Sarlinawati yang mula menjinakkan diri dengan dunia permotoran ketika berusia 18 tahun berkata beliau mahu menterjemahkan sokongan kepada pesakit kanser yang sedang berjuang atau yang telah berputus asa dalam melawan kanser kerana menganggap ia adalah noktah dalam kehidupan.
"Saya sendiri masih melawan penyakit ini dan perlu mendapatkan rawatan. Saya harap mereka terima mesej saya bahawa kita (pesakit kanser) perlu kuat dan sokong sesama kita.
"Jangan fikir kita bersendirian melawan kanser, kerana tanggapan ini yang 'bunuh' semangat kita," katanya yang positif bahawa masih ada insan yang ambil peduli tentang kebajikan pesakit kanser.
Menurutnya, kos perbelanjaan sepanjang kembara motosikal solo beliau itu disumbangkan oleh beberapa individu, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta serta mendapat mendapat khidmat penyelenggaraan motosikal daripada mekanik berpengalaman dengan motosikal jenis skuter.
Mengenai keadaan kesihatannya, Sarlinawati berkata beliau telah mendapatkan khidmat nasihat dan pengesahan tahap kesihatan daripada pakar perubatan di IKN dan disahkan berada dalam keadaan yang sesuai untuk melakukan kembara motosikal secara solo itu.
Ditanya mengenai impian beliau, Sarlinawati berharap kembara itu mendapat perhatian Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kerana beliau berhasrat untuk mempersembahkan beberapa cadangan serta menyuarakan permasalahan yang dihadapi golongan wanita yang menghidap kanser payudara kepada Tunku Azizah.
"Beliau adalah model peranan saya, banyak memberi inspirasi dan motivasi kepada saya lebih-lebih lagi ketika kesukaran saya untuk mendapatkan zuriat. Alhamdulillah, saya dikurniakan seorang anak perempuan setelah tujuh tahun mencuba," katanya yang sentiasa menyimpan hasrat bertemu Tunku Azizah.
Anak Sarlinawati, Shahira Goh menyifatkan misi ibunya sebagai perkongsian semangat bagi membolehkan golongan wanita yang menghidap kanser payudara bangkit bersemangat melawan penyakit yang menjadi barah utama menyerang kaum wanita serta antara kanser utama penyebab kematian dalam kalangan wanita.
"Ibu suarakan hasrat untuk lakukan kembara ini dengan nada yang bersungguh-sungguh dan penuh semangat. Cara saya sokong dia ialah dengan sentiasa iringi perjalanan ibu dengan doa, agar ibu sentiasa dalam lindungan Allah SWT. Saya harap kembara ibu berjalan lancar dan dipermudahkan agar dia dapat capai objektif yang dihajati," katanya.
Pada 29 Januari lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata kadar insiden kanser payudara di Malaysia ialah 34.1 kes bagi setiap 100,000 populasi wanita.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... antu-pesakit-kanser |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|