View: 5348|Reply: 0
|
[DUNIA]
Hujan lebat punca tragedi runtuhan Batang Kali, ragut 31 nyawa
[Copy link]
|
|
Hujan lebat punca tragedi runtuhan Batang Kali, ragut 31 nyawa
Gambar fail anggota penyelamat mengusung mayat mangsa runtuhan di Batang Kali.
PUTRAJAYA – Tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor yang mengorbankan 31 nyawa pada 16 Disember tahun lalu berpunca daripada hujan lebat yang kemudiannya menyebabkan kegagalan cerun.
Perkara itu diperakui menerusi Laporan Siasatan Berkaitan Tragedi Tanah Runtuh Batang Kali yang dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bilangan 2, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kegagalan cerun itu menyebabkan tapak perkhemahan meliputi Kawasan Hill View, Farm View dan River Side tertimbus dengan sisa runtuhan tanah sehingga menyebabkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa.
Beliau berkata, hasil analisis forensik mendapati kejadian hujan adalah faktor pencetus utama tragedi runtuhan itu.
“Analisis mendapati kombinasi jumlah hujan major (Major Rainfall Kumulatif) bagi tempoh lima hari dan hujan Anteseden (Anteseden Rainfall) kumulatif 30 hari dikesan sebelum runtuhan berlaku yang mana masing-masing 118.6mm dan 444.8mm,” katanya.
ZON A antara lokasi terjejas teruk akibat runtuhan di Father’s Organic Farm Jalan Genting-Batang Kali.
Katanya, siasatan lanjut juga tidak menemui sebarang bukti kukuh menunjukkan aktiviti antropogenik sebagai salah satu faktor penyumbang kepada kejadian tanah runtuh itu.
Ahmad Zahid berkata, laporan penuh JKKTR ini boleh diakses oleh orang ramai melalui laman sesawang Nadma, https://www.nadma.gov.my, mulai 10 pagi tadi.
Menurutnya, mesyuarat pada hari ini turut membincangkan keputusan oleh Jemaah Menteri pada 12 April 2023 yang bersetuju supaya laporan siasatan berkaitan tragedi tanah runtuh itu diumumkam kepada orang awam.
Keadaan di lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali. GAMBAR FARIZ RUSADIO.
“Susulan itu, Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah Runtuh (JKKTR) ditubuhkan bagi menjalankan kerja penyiasatan tanah runtuh ini berdasarkan kepada Pelan Induk 2023 dan keputusan Jemaah Menteri.
“Jawatankuasa ini diketuai Cawangan Kejuteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, serta agensi-agensi teknikal lain seperti Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
“Turut serta dalam jawatankuasa itu termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan badan-badan professional yang dilantik,” katanya.
Anggota penyelamat mengangkat mayat mangsa.
Katanya, laporan forensik yang disediakan oleh JKKTR telah dimajukan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kerajaan Selangor untuk dinyahklasifikasi bagi membolehkan hasil siasatan berkenaan dicapai oleh orang awam.
Jelasnya lagi, Kerajaan Selangor bersetuju untuk menyahklasifikan laporan tersebut pada 5 Okt 2023 dan laporan berkenaan telah diserahkan kepada Nadma pada 12 Oktober 2023 untuk tindakan lanjut.
Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember 2022 adalah kejadian kedua terbesar melibatkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1992 yang mengorbankan 48 nyawa.
Keadaan di kawasan tanah runtuh pada hari kelapan operasi mencari dan menyelamat mangsa di Tapak Perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands.
Tragedi pada kira-kira pukul 2.30 pagi itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan. – KOSMO! ONLINE
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2023/10 ... ali-ragut-31-nyawa/
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|