Kereta dipandu lelaki warga asing merempuh pagar istana di Jalan Skudai, Pantai Lido awal pagi hari ini. -Foto ihsan polis
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh dadah dan melanggar dua kereta sebelum merempuh istana besar di Kilometer 2.3 Jalan Skudai, Pantai Lido di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku jam 5.28 pagi membabitkan kereta jenis Audi dipandu seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an dari pusat bandar menghala Skudai bersama dua penumpang.
"Pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan di kawasan selekoh sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
"Kereta warga asing itu kemudian melanggar sebuah teksi dan Perodua Aruz, sebelum merempuh pagar istana di bahu jalan," katanya menerusi kenyataan.
Raub berkata, pemandu kereta cedera ringan, manakala pemandu dua lagi kenderaan yang dilanggarnya tidak cedera, dengan pagar istana mengalami kerosakan.
"Hasil ujian air kencing mendapati pemandunya positif methaphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987," katanya.
|