|
HANISAH dilaporkan hilang semalam. FOTO ihsan Mohd Khairul Sabli
Kuala Lumpur: Guru wanita di sebuah sekolah rendah di Putrajaya dilaporkan hilang selepas mengambil cuti kecemasan semalam.
Suaminya, Mohd Khairul Sabli, 43, berkata, sebelum kejadian, dia menghantar isterinya, Hanisah Kusnan, 38, ke Hospital Ampang kira-kira jam 8 pagi semalam.
"Isteri ada temu janji untuk merawat masalah kemurungan dihadapinya di Hospital Ampang pada pagi itu sebelum saya menghantarnya semula ke tempat kerja jam 11 pagi, semalam.
"Saya hanya menyedari kehilangannya kira-kira jam 4 petang apabila mesej di WhatsApp tidak dibaca sebelum saya bergegas ke sekolah untuk mencarinya.
"Namun, saya dimaklumkan oleh pihak sekolah terbabit bahawa isteri saya meninggalkan sekolah itu dalam tengah hari selepas memohon cuti kecemasan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Khairul berkata, dia sudah menghubungi semua rakan dan saudara mereka untuk mengesan Hanisah, namun tiada sesiapa yang mengetahui keberadaannya.
"Malah, saya juga sudah mencari di beberapa hotel serta hospital berhampiran Putrajaya, namun masih gagal mengesannya. Saya sudah membuat laporan berhubung kehilangannya di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, hari ini.
"Sebelum ini, ada beberapa kali dia menghilangkan diri. Namun dalam tempoh beberapa jam kemudian, dia akan menghubungi saya.
"Ini kali pertama dia menghilangkan diri tanpa menghubungi saya lebih 24 jam dan saya amat bimbangkan keselamatannya di luar sana ditambah pula dengan keadaan kesihatan," katanya.
Katanya, kali terakhir Hanisah dilihat memakai tudung serta baju kurung berwarna biru sambil membawa beg komputer riba dan beg kecil.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Hanisah diminta memaklumkan kepada pihak polis di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... mbil-cuti-kecemasan |
|