|
Kereta Nissan Laurel yang mahu dijual Abdul Halim.
Kuala Lumpur: Demi membantu rakyat Palestin, Abdul Halim Keply, 41, sanggup menjual kereta edisi terhad dimiliki iaitu Nissan Laurel C35 pada harga RM65,000.
Untuk rekod, di Malaysia, hanya ada empat buah saja kereta ini termasuk milik Abdul Halim.
Abdul Halim berkata, keputusan dibuat atas niat untuk membantu dan meringankan beban penduduk Palestin yang terus menjadi mangsa serangan tentera Israel.
"Sudah sebulan Semenanjung Gaza diserang. Kita di sini apa yang boleh dibuat selain doa adalah beri sedekah dan sumbangan untuk Palestin. Berdoa semua orang buat, jadi saya fikir apa lagi boleh diberi adalah menjual harta yang dimiliki ke jalan Allah SWT.
"Saya ambil keputusan untuk menjual satu daripada koleksi kereta yang ada. Saya berbincang dengan isteri dan dia pun bersetuju dan menyokong sepenuhnya.
"Hasil jualan akan disalurkan sepenuhnya kepada tabung Palestin. Itu niat saya," katanya.
Menurutnya, sejak memuat naik hantaran itu di Facebook kelmarin, ramai yang memberikan maklum balas positif.
Katanya, sudah ada tiga calon pembeli yang berminat untuk datang melihat kereta itu di rumahnya di Taman Semarak, Kajang, Selangor.
"Saya baru muat naik di Facebook semalam (kelmarin) dan sudah tiga orang yang menghubungi saya untuk datang tengok kereta. Saya buka harga RM65,000 tetapi masih boleh dirunding. Saya juga baru saja melakukan beberapa penambahbaikan terhadap kereta ini. Memang tiada sebarang kerosakan.
"Kereta ini saya beli daripada rakan asal dari Jepun. Disebabkan dia mahu kembali ke Jepun, dia jual kepada saya. Sudah tiga tahun saya guna kereta ini," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -rare-demi-palestin |
|