View: 3353|Reply: 0
|
[Kelantan]
Terpisah 57 tahun, Saimah rindu emak, adik-beradik
[Copy link]
|
|
Saimah menunjukan sijil lahir yang menjadi satu-satunya dokumen menyimpan maklumat ibu bapa kandungnya. FOTO Ihsan Saimah Aziz
Jeli: "Hanya Allah SWT saja yang tahu perasaan rindu itu dan saya teringin sangat mahu berjumpa, menatap wajah emak dan tiga adik-beradik yang terpisah sejak 57 tahun lalu. Andai kata emak sudah tiada saya harap dapat jumpa kakak dan dua adik," luahan warga emas, Saimah Aziz.
Dia yang kini berusia 62 tahun yang sehingga kini masih berharap dapat bertemu ibu kandung dan tiga lagi adik-beradik yang kali terakhir ditemui ketika Saimah berusia 16 tahun di rumah ibunya di Langkap, Perak.
Saimah yang kini menetap di Kuala Balah di sini, berusaha tanpa henti menjejaki insan tersayang itu di platform media sosial sejak sekian lama, namun usahanya tidak berjaya dan mengakui dia kini buntu untuk mengesan keluarganya.
Dia menjejaki ibu, Siti Rodiah Sarman atau dikenali Kak Siti; kakak sulungnya, Aminah@Ruminah atau Minah yang kini dianggarkan berusia 65 tahun dan dikatakan berkahwin dengan lelaki dari Tanjung Karang, Selangor serta dua adik, Himisah atau nama panggilannya Misah, 60, dan Md Din, 58.
Berkongsi kisahnya, Saimah berkata, dia adalah anak kedua daripada empat beradik dan mereka sekeluarga sebelum ini menetap di Teluk Intan, Perak iaitu kampung halaman ibunya, Siti Rodiah yang kini berusia 82 tahun.
Menurutnya, bapanya Aziz Hasan yang berasal dari Johor meninggal dunia, menyebabkan kehidupan mereka ketika itu semakin sukar sebelum ibu terpaksa menyerahkannya kepada keluarga bapa yang datang menziarah mereka di kampung.
"Ketika itu, saya berusia lima tahun dan dibesarkan nenek dan ibu saudara di Johor.
"Ketika berusia 16 tahun saya pulang ke kampung mencari ibu yang menetap di Langkap ketika itu dan kemudian saya pulang semula ke Johor," katanya.
Katanya, selepas pulang dia ada mengirim surat kepada ibu dan keluarganya di Perak beberapa kali, namun tidak pernah menerima balasan kerana keluarganya tiada yang boleh membaca dan menulis ketika itu kerana kesempitan hidup.
"Jiran emak ada beritahu keluarga saya sudah berpindah dan dia juga tidak tahu lokasi baru mereka. Saya terus terputus hubungan dengan keluarga kandung termasuk jiran itu juga sehingga hari ini tanpa khabar berita mengenai mereka.
"Biarpun sudah terpisah lama saya masih merindui mereka. Andai kata emak kami sudah tiada saya berharap dapat berjumpa kakak dan dua adik atau anak dan cucu mereka. Rindu ini sudah terlalu lama dan saya berharap sebelum menutup mata dapatlah bertemu mereka," katanya.
Menurut Saimah, satu-satunya gambar ibu, Siti Rodiah ketika muda sudah hilang daripada simpanan dan kini dia hanya ada sijil lahir yang tertera maklumat ibu bapa, malah mengakui ia juga sukar mengesan keluarga tanpa gambar itu.
"Saya sangat berharap keluarga di Perak dan tak kiralah siapa yang masih ada tolong hubungi saya. Saya mahu tahu mereka masih ada atau tidak dan berharap dapat merapatkan kembali hubungan keluarga yang terpisah lama," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Saimah di talian 01117905660.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... u-emak-adik-beradik |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|