|
Kedai ikan dan hasil laut yang diusahakan Sauffian Sauji, 36, mendapat sambutan berikutan harga yang ditawarkan lebih rendah. FOTO NAZDY HARUN
Kuala Terengganu: "Gara-gara pelbagai jenis hasil laut dijual dengan harga lebih rendah, saya pernah dikecam sesama peniaga hinggakan ikan siakap yang dijual serendah RM3 hingga RM8 mengikut gred digelar 'Siakap Sauffi' sempena nama saya," kata Sauffian Sauji.
Sauffian, 36, yang menjalankan perniagaan menjual hasil laut di Kampung Seberang Baruh dekat sini, berkata, pengalaman sejak berusia 15 tahun mengikut ayahnya berniaga ikan di Pelabuhan Pulau Kambing dekat sini, mendorongnya untuk meneruskan legasi itu namun dengan cara berbeza.
Menurutnya, dia menjual kira-kira 30 jenis ikan termasuk sotong, udang dan ketam selain sumber protein lain sejak lima tahun lalu.
"Saya mendapat bekalan terus dari bot nelayan dengan jumlah yang banyak dan kemudian dijual kepada pelanggan dengan harga lebih rendah daripada pasaran.
"Alhamdulillah, untung itu ada dan ia memberi kepuasan buat diri saya apabila dapat menjual ikan dan hasil laut lain dengan harga yang lebih rendah.
"Contohnya, ikan siakap saya jual dengan harga setiap seekor dan bukannya dengan perkilogram.
"Ia dapat memberi pilihan kepada pelanggan untuk memilih kerana ikan siakap dijual serendah RM3 hingga RM8 mengikut gred.
"Oleh kerana viral, ramai peniaga kini turut menjual ikan siakap dengan harga setiap ekor dan mereka (peniaga lain) menggelarkan ikan berkenaan dengan nama saya berikutan fenomena yang tercetus," katanya.
Menurutnya, dia tidak menolak turut dimarahi peniaga lain kerana harga yang dikenakan rendah dan tidak mengikut harga pasaran.
Katanya, dia juga pernah dikecam di media sosial gara-gara pesaing tidak berpuas hati dengan apa yang dia lakukan namun dia mengambil hati malah terus meletakkan harga murah buat pelanggannya.
Sauffian berkata, kata-kata cemuhan netizen tidak mematahkan semangatnya, malah dia tetap meneruskan perniagaan dengan mengenakan harga rendah.
"Hari minggu saya menggunakan 26 orang pekerja, manakala pada hari biasa 18 pekerja bertugas di tiga buah kedai yang terletak di Kampung Seberang Baruh, Kampung Tualang dan Kampung Gong Kiat," katanya.
Menurutnya, dia berharap dengan usaha kecilnya itu dapat membantu orang ramai kerana sedia maklum sekarang harga barangan ada yang melonjak naik dan membebankan pengguna.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ual-dari-rm3-seekor |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|