|
Kira-kira 100 nelayan bergotong-royong menarik perahu kolek menggunakan tali ke daratan setelah musim tengkujuh kini melanda negeri Pantai Timur di Kampung Pulau Gajah di Pantai Sabak, Pengkalan Chepa hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
KOTA BHARU: Menjelang musim tengkujuh, nelayan di Kampung Pulau Gajah, di sini mula menaikkan perahu kolek ke darat berikutan mereka sudah tidak boleh turun ke laut.
Sebanyak 30 perahu kolek milik nelayan ditarik naik ke darat untuk kerja membaiki dan mengecat sepanjang tiga bulan aktiviti menangkap ikan tidak dapat dilakukan.
Ketua nelayan Tanjung Kuala Sabak, Nik Ruzullaili Nik Yusof, 43, berkata sejak jam 9 pagi tadi, kira-kira 100 nelayan bergotong-royong menarik perahu kolek walau dalam keadaan hujan lebat.
"Setiap hujung tahun iaitu memasuki musim tengkujuh, semua perahu kolek dinaikkan ke darat untuk kerja mengecat serta membaiki kerana nelayan tidak dapat turun ke laut sepanjang tempoh itu.
"Malam tadi berlaku air pasang besar dan sudah tiba waktunya untuk perahu kolek dinaikkan dan untuk kerja ini, kami akan cuba selesaikan dalam masa sehari," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Setiap sebuah perahu kolek ditarik menggunakan tali oleh kira-kira 20 nelayan beralaskan batang pokok rhu yang dipotong pendek bagi membolehkan kolek bergerak sebelum 'diparkir' di kawasan lapang.
Nik Ruzullaili berkata, sepanjang tiga bulan nelayan tidak dapat turun ke laut, lazimnya masing-masing menjalankan pekerjaan lain contohnya tukang rumah dan bekerja kampung.
"Macam saya sendiri, tiga bulan bercuti dari turun ke laut saya manfaatkannya sebagai tukang rumah dan dapatlah sedikit sebanyak menampung kos hidup menyara keluarga," katanya.
Bagi Mat Wi Mat, 59, pula, sudah seminggu dia tidak turun ke laut kerana keadaan laut yang bergelombang selain faktor cuaca yang tidak menentu.
Dia yang sudah lebih 40 tahun menjadi nelayan berkata, kebiasaan musim tengkujuh, nelayan akan mengambil peluang menjahit pukat dan membaiki bot atau perahu.
"Memang agak terjejas sedikit dari segi pendapatan tapi mujurlah kami menerima elaun sara hidup nelayan (ESHN) dari kerajaan sebanyak RM300 sebulan yang dapat dimanfaatkan sepanjang empat bulan tidak dapat turun ke laut," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... tarik-naik-ke-darat |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|