|
SEBAHAGIAN petak sawah yang masih kosong disebabkan kesukaran pesawah mendapatkan benih padi di Semerak, Pasir Puteh, Kelantan. – UTUSAN/TOREK SULONG
PASIR PUTEH: Lebih 100 petani di kawasan Semerak di sini mendakwa sukar untuk memulakan kerja-kerja di bendang mengikut jadual selepas berdepan masalah benih padi.
Rata-rata pesawah mendakwa mereka terpaksa membuat tempahan awal dan mengikut giliran sekali gus menyulitkan kerja-kerja menanam padi untuk musim baharu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang petani, Mat Nor Ismail, 44, berkata, kesukaran itu menyebabkan petak-petak sawah terpaksa dibiarkan kosong.
“Kami (pesawah) di sini perlu menanam secara serentak bagi mengelak ancaman musuh perosak selain hanya mengharapkan taburan hujan kerana ketiadaan kemudahan saliran tali air.
“Harga benih padi CL 251 dahulunya RM35, kini mencanak sehingga RM55. Sudahlah mahal, sukar pula untuk dibeli. Masalah ini sepatutnya diselesaikan agensi berkaitan untuk mengelak orang tengah memanipulasi harga,” katanya ketika ditemui di bendang Beris Chalok di sini semalam.
Mat Nor mendakwa, kenaikan harga benih turut memberikan kesan kepada kerja-kerja penanaman padi oleh pesawah di kawasan berkenaan.
Selain itu dakwanya, kedai yang menjual benih tidak mahu mengeluarkan resit pembelian turut menimbulkan persoalan dalam kalangan pesawah.
“Setinggi mana pun kenaikan harga benih, kami tetap menanamnya kerana itu adalah kerja kami sejak sekian lama,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semerak, Alias Mat Rani berkata, bulan ini adalah musim menabur benih di mana harga padi bawah RM45 untuk satu karung seberat 20 kilogram (kg) sudah tidak ada dalam pasaran.
Katanya, petani di bawah PPK Semerak kebanyakannya membeli benih padi CL 215 pada harga RM54 untuk satu karung.
“Modal pengurusan awal semakin meningkat berbanding musim sebelumnya kerana untuk 0.46 hektar petani perlu membeli tiga karung atau 60kg benih padi,” katanya.
Alias memberitahu, untuk membeli benih kebal penyakit seperti CL 2 bernilai RM74 bagi 20kg adalah di luar kemampuan sebaliknya hanya mampu menggunakan benih ‘marhaen’ seperti CL 215, CL 267 dan CL 297. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... adual-tanaman-padi/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|