|
Mohamed Fadzli Hassan.
Kota Bharu: Kerajaan Persekutuan sudah memberi kebenaran untuk Kelantan meneroka sumber mineral dan unsur nadir bumi (REE).
Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, untuk itu kerajaan negeri sedang mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) yang akan diguna pakai kelak.
"Kelantan adalah antara negeri yang sudah ada SOP (perlombongan) REE. Bagaimanapun, kita sedang mengemaskini SOP supaya ia bertepatan dengan kaedah yang ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.
Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Mohd Syahbuddin Hashim (Galas- BN) mengenai strategi kerajaan negeri dalam perlombongan REE, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan di sini, hari ini.
Mohamed Fadzli berkata, banyak prosedur yang perlu dilalui di peringkat negeri dan Persekutuan, antaranya yang membabitkan penilaian kesan alam sekitar (EIA) yang mengambil masa antara dua hingga tiga tahun.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri berharap Persekutuan mempermudahkan urusan berkaitan kerana REE sumber baharu yang bukan hanya terdapat di Kelantan.
Menjawab soalan tambahan Mohd Syahbuddin mengenai halangan dan cabaran bakal dihadapi dalam meneroka sumber itu, beliau berkata, pihak kerajaan sudah berjumpa beberapa pihak yang berminat melabur dan membantu.
Katanya, untuk permulaan, ia akan membabitkan kerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri berbanding bergantung kepada syarikat luar dari China seperti dilaksana kini.
"Kita akan memastikan perkara ini dapat dimanfaatkan untuk rakyat Kelantan tanpa perlu membabitkan pihak ketiga. Kita juga akan mengambil warga tempatan untuk melatih mereka supaya menjadi pekerja mahir dalam pengeluaran REE," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Syahbuddin ketika ditemui berkata, mahu kerajaan negeri menyantuni penerokaan REE di Gua Musang, Tanah Merah dan Jeli yang dianggarkan RM125 bilion bagi pengeluaran 2.5 juta tan, sebaik mungkin.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... pu-hijau-teroka-ree |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|