|
ARIF menemani ibunya yang dibantu anggota bomba untuk dihantar ke rumah saudara selepas kediaman mereka dilanda banjir di sini. FOTO Syaherah Mustafa
Rantau Panjang: Bimbang akan keadaan ibu yang terlantar, seorang pemuda mengambil langkah awal meminta pertolongan anggota bomba untuk membawa keluar ibunya selepas kediaman mereka mula dinaiki air sedalam 0.5 meter, di Kampung Kusar, di sini, semalam.
Mohamad Hidayat Ikhwan Manaf, 21, berkata dia buntu memikirkan cara untuk membawa keluar ibunya, Sarina Ariffin, 50, yang terlantar selepas menjalani operasi pembedahan kepala pada September lalu.
Katanya, sebelum ini rumahnya sudah dikunjungi beberapa kali oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, yang menasihatinya untuk meminta bantuan awal jika banjir melanda.
"Sejak dua hari lalu, halaman rumah saya mula digenangi air tetapi banjir naik secara perlahan, justeru saya mengambil keputusan untuk berada di rumah dulu. Bagaimanapun, semalam, paras air dilihat naik lagi, menyebabkan saya terus menelefon pihak bomba bagi mendapatkan bantuan.
"Kami perlu berpindah awal kerana biasanya jalan masuk ke kawasan rumah akan ditenggelami air pada paras tinggi dan hanya boleh dilalui menggunakan bot. Alhamdulillah, semalam, lori bomba sampai sehingga ke depan rumah untuk menyelamatkan ibu saya.
"Sebelum ini ibu sihat, jadi saya bersama dua adik, Mohamad Arif Ikram, 11, dan Nur Fatin Umairah, 13, biasanya akan keluar ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang terdekat untuk menyelamatkan diri dengan menggunakan perahu saja," katanya.
Mohamad Hidayat berkata, penempatannya antara yang terawal dilanda banjir pada setiap tahun dengan paras air mencecah sehingga lebih dua meter, malah ada masanya menenggelamkan keseluruhan rumahnya.
"Buat masa sekarang, ibu dipindahkan sementara di rumah saudara yang masih selamat. Ibu hanya menangis sedih dan pada awalnya tidak mahu meninggalkan rumah namun selepas dipujuk dia akur dan berpindah.
"Terima kasih kepada semua anggota bomba yang bertindak pantas membantu memindahkan ibu saya malah tidak putus-putus memberi nasihat kepada penduduk Kampung Kusar, di sini, supaya mengambil langkah awal untuk berpindah.
"Saya juga sangat berharap agar banjir kali ini tidak sebesar tahun lalu, kerana bimbang akan keadaan rumah selain ibu yang masih belum sihat sepenuhnya," katanya.
Menurut laman web, publicinfobanjir.water.gov.my, paras Sungai Golok di Rantau Panjang melebihi aras amaran dengan bacaan 8.93 meter, setakat jam 10.15 pagi, hari ini.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... pindahkan-ibu-sakit |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|